Jurukimpal Mengaku Tak Bersalah Cederakan Isteri

ALOR SETAR – Seorang jurukimpal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada isterinya pada Jumaat lepas.


V Arumugam,41, didakwa mendatangkan kecederaan kepada isterinya, M. Cristina, 41, di sebuah rumah di Kampung Baru Seberang Keretapi, Alor Setar pada 3.30 petang, 17 Jun lalu.


Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang bolehdihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.


Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail mencadangkan supaya tiada ikat jamin diberikan kepada bapa lima anak itu bagi memastikan keselamatan isterinya memandangkan mereka tinggal di rumah yang sama.


Bagaimanapun dalam prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon supaya jaminan diberikan kepadanya memandangkan isteri tertuduh telah menarik balik laporan polisnya.


Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli menetapkan 26 Julai sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu arahan pihak pendakwaan sama ada untuk meneruskan kes atau tidak. – BERNAMA