JAWI Pertahan Diri, Dakwa Ikut SOP

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mempertahankan diri berhubung dakwaan salah tangkap, kasar dan tidak beretika susulan saman terhadapnya hari ini.

"Sukacita dimaklumkan JAWI telah bertindak berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai ramai dan melaksanakan pemeriksaan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan bawah undang-undang berkuat kuasa dan prosedur operasi standard yang ditetapkan," kata ketua pegawai penguat kuasa agamanya Wan Jaapar Wan Ahmad.

Menurutnya, pihak berkuasa agama itu juga sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkenaan.

"Sehingga kini JAWI masih belum menerima sebarang saman seperti yang didakwa dalam berita tersebut," jelasnya.
Terdahulu, sepasang suami isteri hari ini dilapor memfailkan saman terhadap JAWI dan kerajaan Malaysia susulan penahanan mereka dalam satu operasi khalwat bulan lepas, walaupun telah berkahwin secara sah hampir tiga tahun lalu.

Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, serta ibu Ridhuan menamakan pegawai penguat kuasa Mohd Shiham Ramli, Mohamad Izehar Md Amin, ketua pegawai penguat kuasa agama JAWI, ketua pengarah JAWI, JAWI, Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Mereka mendakwa tujuh pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang penguat kuasa wanita menyerbu hotel tersebut pada jam 1:30 pagi pada 8 Januari lepas.

Dalam permohonan saman mereka, Ridhuan mendakwa pegawai JAWI berkenaan didakwa menyerbu masuk ke bilik hotel walaupun isterinya, Siti Sarah meminta diberi peluang untuk memakai pakaian lengkap.

Lanjutan itu, berlaku pergelutan antara Ridhuan dan Shiham. Shiham didakwa mencekik Ridhuan sehingga menyebabkan kecederaan di leher.

Mereka mendakwa penahanan mereka tidak sah dan berlaku pelanggaran hak asasi. Pasangan itu turut menuntut ganti rugi am dan teladan serta kos bagi tindakan ini.