Jadi pengacara, Mia Ahmad terima kritikan

BAGI aktres popular Mia Ahmad, kritikan adalah perkara yang perlu untuk diterima dengan positif. Ini kerana kritikan dapat mengukur kelemahan seseorang yang tidak dapat dilihat dengan mata sendiri.

"Pengamalan kali pertama mengacara sebuah program tidak dinafikan ada juga susahnya, adakalanya saya terikat dengan skrip sebab kena tahu juga antara point penting.

"Walau bagaimanapun, dengan adanya direktor kesukaran yang saya alami dapat ditangani dan lebih relaks mengendalikan program tersebut. Malah saya juga sudah melihat episod per episod dan ada peningkatan.

"Andai selepas ini ada kritikan daripada penonton saya terima dengan baik. Bagi saya kritikan itu kita boleh tahu di mana kekurangan diri sendiri dan belajar untuk memperbaikinya dengan lebih baik untuk masa depan.

"Sebab kita depan kamera tak tahu di mana kesalahan kita. Oleh itu, bergunanya kritikan daripada penonton," ujar Mia Ahmad.

Mia Ahmad atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 28, ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran program Jom Fesyen saluran HD (113) HyppTV.

Program bersiri 13 episod tersebut menyajikan tiga segmen utama iaitu 'Jom Tengok', 'Jom Cantik', 'Jom Terjah', bermula hari ini jam 8 malam.