Jadi Buruan Serata Dunia

Meskipun Goblin yang ditayangkan di saluran tvN sudah pun berakhir sejak bulan lalu namun pelakon utamanya, Gong Yoo, sehingga kini masih menikmati kesan sindrom goblin dan impak drama yang mencetuskan fenomena itu.

Pada 10 Februari lalu, agensi di luar Korea serta agensi Gong Yoo iaitu Pengurusan Soop, mendedahkan bahawa aktor berusia 37 tahun ini mendapat banyak tawaran untuk acara bertemu peminat di 15 buah negara berbeza, termasuk China, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Amerika Syarikat, Kanada, dan Australia.

Bukan saja menjadi buruan banyak pihak di peringkat antarabangsa malahan tawaran-tawaran yang datang untuk bintang filem Train to Busan ini juga disertakan sekali dengan 'pakej' keselesaan yang mewah serta bayaran tertinggi.

Sebelum ini, filem Train to Busan mencatat kutipan pecah panggung bukan saja di Korea bahkan di Singapura, Thailand, Vietnam, Perancis, Indonesia, dan Filipina. Populariti pelakon drama Coffee Prince ini kembali melonjak naik menerusi lakonannya dalam Goblin sekaligus mencipta nama yang lebih besar untuk dirinya sendiri.

Di Taiwan, beliau berada di kedudukan senarai “Hallyu’s 4th Great King,” selepas nama-nama besar yang lain seperti Song Joong Ki, Park Bo Gum, dan Yoo Ah In. Popularitinya setaraf bintang tempatan seperti Shu Qi dan Vivian Sung.

Walaupun agensi-agensi di seluruh dunia berebut untuk mendapatkan Gong Yoo, namun sehingga kini, aktor itu masih belum memberi respon terhadapa tawaran-tawaran berkenaan.

Ketika ini Gong Yoo sedang sibuk dengan penggambaran iklan dan terlibat dengan beberapa projek sehingga pertengahan Mac depan.