Izreen Sudah Bertemu Pengganti

Selepas lebih dua tahun menjanda, aktres Izreen Azminda kini mengakui sedang mengenali seorang lelaki sekaligus menyatakan kesediaan untuk kembali bergelar isteri.

Menurut wanita berusia 32 tahun ini, dia dan lelaki berkenaan sudah saling mengenali antara satu sama lain sejak setahun yang lalu.

"Sekarang memang saya tengah berkenalan dengan seseorang, namun selagi belum ada apa-apa kata putus, saya tak akan membuka mulut mengenainya.

"Saya tak mahu dipanggil wanita syok sendiri yang sibuk bercerita nak kahwin, tapi akhirnya tak jadi," katanya seperti yang dilaporkan mStar online.

Dalam pada itu, Izreen berkata, jika ditakdirkan berkahwin lagi, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam perkahwinan keduanya itu nanti.

"Untuk kali ini jika ditakdirkan saya berkahwin dengan sesiapa sahaja pun, saya pasrah.

"Perkahwinan adalah gamble, tak ada pun tak apa. Saya tak letakkan harapan agar perkahwinan kedua ini perlu bahagia selamanya. Saya pasrah dengan takdir. Tak perlu fikir terlalu mendalam," katanya.

Izreen pernah mendirikan rumah tangga dengan jurukamera, Muhamad Riza Baharudin pada 2012 dan rumah tangga mereka berakhir pada 2014. Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 4 tahun.