Izreen Azminda mahu jadi eksklusif

MEMASUKI usia 32 tahun, perjalanan seni aktres Izreen Azminda dalam gelanggang seni lakon tempatan genap sedekad tahun ini.

Mengakui profil seninya pada peringkat awal masih samar-samar selepas menyertai Pencarian Dewi Remaja edisi 2005/06 bersama Scha Al-Yahya, namun  kecekalan dan azam untuk merealisasikan impian bergelar pelakon begitu menebal dan jitu.

Bagi anak jati Perlis ini, jatuh bangun dalam kerjaya adalah sesuatu yang normal. 10 tahun lalu dia bertatih dan mengutip pengalaman namun pemilik nama lengkap Izreen Azminda Aznam ini gigih menongkah arus, demi merealisasikan cita-citanya yang lama terpendam.

Kini, figura ini mungkin sudah boleh menarik nafas lega apabila kredibiliti dan bakatnya dalam lakonan diakui ramai. Pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Wanita (Drama) Anugerah Skrin 2013 ini optimis memberikan yang terbaik, demi semangat anak seni sejati.

Selektif pilih watak genap sedekad sebagai anak seni

Berkongsi sisi seni Izreen Azminda pada fasa ke-10 tahun ini dengan lebih lanjut, Izreen melihat sudah tiba masanya dia mencari kelainan, demi memastikan kehadirannya di arena lakonan tanah air kekal relevan meski aktres baru silih berganti.

Tidak mahu memandang ke belakang apatah lagi memikirkan soal remeh, Izreen tekad mahu berpaksi pada prinsip sendiri.



“Tahun ini genap 10 tahun ‘usia’ saya dalam seni. Jadi sudah pasti perlu ada formula baru untuk terus kekal bersaing dalam lakonan.

Bersaing dalam konteks yang dimaksudkan adalah dari segi mencari nilai eksklusif dalam lakonan.

“Tidak juga bila bercakap soal eksklusif, saya mahu tunjuk demand.

Tetapi mengenangkan saya kini kian matang dan dengan penampilan sebagai wanita berhijab, sudah pasti ia perlu diambil kira.

“Bagi saya, setiap pelakon itu pasti mempunyai sasaran dalam karier masing-masing dan begitu juga dengan saya. Mungkin pada peringkat awal penglibatan kita dalam seni, semua benda kita ‘kaut’ dan ambil mudah.

“Tapi berbekalkan pengalaman, ia membuatkan kita lebih mudah dan bijak memilih mana yang terbaik.

Terima kasih buat semua penggiat seni yang nampak bakat dan kehadiran saya,” katanya yang

ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta penjagaan wajah, Meeracle minggu lalu di Casa Ombak, Kuala Lumpur.

Selain Izreen, turut sama dilantik sebagai wajah Meeracle ialah aktres, Catriona Ross.

Kerja keras selepas rehat empat bulan

Dalam perkembangan lain, ibu tunggal ini turut memberitahu Media Hiburan, langkahnya dalam lakonan kembali rancak tahun ini setelah mengambil keputusan berehat lebih empat bulan tahun lalu kerana mahu memberi fokus terhadap anak, Muhammad Adrian Umar, 4.

“Lama berehat kerana sejak berlakon, saya tidak pernah ada waktu senggang yang ideal untuk tenangkan minda. Lagi pula, anak kian membesar dan sebagai ibu tunggal, saya juga perlu beri perhatian kepadanya selain mencari rezeki.

“Dalam tempoh itu, saya banyak masa bersama anak dan keluarga. Diri sendiri pun kena rehat sebab kalau kerja terlalu kuat pun, boleh beri kesan yang tidak baik pada saya yang mungkin bawa impak negatif pada kualiti lakonan.

“Selepas bercuti, Alhamdulillah, tawaran berlakon tetap ada dan saya kini sibuk dengan penggambaran drama Tukar Tukar Menu sempena Ramadan untuk siaran TV3 dan drama empat episod berjudul Pergilah Airmata untuk RTM, juga siaran Ramadan," katanya yang turut beraksi dalam sebuah telemovie dalam waktu terdekat.

Sambil menyifatkan dirinya bertuah kerana tetap dihujani tawaran lakonan, bintang ini juga bakal menjadi duta untuk produk penjagaan diri tetapi enggan mendedahkan perkara itu kerana masih dalam perbincangan.

Izreen juga ligat berniaga koleksi harumannya sendiri tahun lalu iaitu Lurve Me by Izreen Azminda.

Bakal himpun koleksi puisi sendiri

Sementara itu, pelakon filem Pak Pong ini turut teruja kerana bakal menghasilkan sebuah buku yang menghimpunkan puisi nukilannya sendiri.

Ditanya mengenai penghasilan buku puisi tersebut dengan lebih lanjut, Izreen memberitahu; “Ia masih di peringkat awal namun idea menghasilkan buku sudah dirancang sejak tahun lalu.

"Saya mahu memberikan yang terbaik. Kerana itu saya tidak tergopoh-gopoh menerbitkannya. “Ia lebih bersifat kewanitaan dan semua puisi itu bersangkut paut dengan soal perjalanan dan luahan jiwa saya dari dulu hingga kini.

"Harapnya ia boleh memberi inspirasi buat semua, khasnya wanita,” kongsi Izreen, bekas pelajar bidang kewartawanan dari Akademi TV3.