Isuzu tingkatkan dominasi pasaran trak di Malaysia

Isuzu telah memperbaiki rekod tahunannya dengan berada di kedudukan keenam untuk jumlah jualan keseluruhan jenama kenderaaan di Malaysia berbanding tempat ketujuh bagi tahun lepas.


Menurut angka jualan keseluruhan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), trak ELF Isuzu Malaysia kekal menjadi trak tugas ringan paling laris untuk tujuh tahun berturut-turut manakala model Forward pula paling laris buat kali ketiga untuk trak tugas sederhana.



Isuzu ELF
Isuzu Forward

Isuzu turut mendominasi pasaran trak di Malaysia dengan mencatat kawalan pasaran sebanyak 38.9%.


Jumlah jualan bagi Isuzu D-Max dalam segmen trak pikap pula meningkat sebanyak 10%, walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk segmen tersebut menampakkan penurunan sebanyak 19%.


Kenaikan itu sekali gus menambah baik kawalan pasarannya daripada 11% kepada 15%. Sekali imbas, D-Max and MU-X kini menjadi jenama trak paling laris di pasaran tempatan.



MU-X
D-Max Beast

Isuzu kekal berada di tangga pertama tahun lalu untuk segmen kenderaan komersial (CV) di Malaysia, walaupun prestasi jualan keseluruhan industri menurun sebanyak 13%.


“Kami bangga dengan pencapaian sebagai jenama kenderaan komersial pilihan pengguna di Malaysia sekali lagi walaupun jangkaan kurang positif bagi industri automotif pada tahun 2016” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsouka.


KENJI


Matsuoka turut menyatakan bahawa kejayaan Isuzu dalam mengekalkan prestasi, posisi dan peningkatan kawalan pasaran itu adalah berdasarkan faktor kualiti dan kecemerlangan kenderaan Isuzu.


Di samping itu, Isuzu turut berusaha untuk mengutamakan kepuasan pelanggan menerusi langkah menambah baik konsep 3S yang melibatkan aspek jualan, servis dan alat ganti.


“Kami memberi penekanan terhadap aspek latihan dan  bangga bahawa kumpulan pertama graduan daripada Sekolah Teknikal Isuzu (ITS) telah ditempatkan di pusat-pusat servis sah Isuzu yang berbeza di seluruh negara untuk meningkatkan lagi tahap kepuasan pelanggan dan memberi ‘pengalaman Isuzu’ kepada mereka,” kata Matsuoka.


Meskipun pasaran kini menjadi semakin kompetitif, Isuzu Malaysia telah membuka sebuah pejabat di Kuching pada November tahun lalu. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif mereka untuk menjangkau lebih ramai pelanggan. Ternyata, pembukaan pejabat itu turut menyumbang kepada penerimaan yang amat memberangsangkan di sana.


“Kami akan terus menambah baik kualiti servis serta tawaran produk dalam segmen Kenderaan Komersial dan Kenderaan Komersial Ringan di Malaysia pada masa hadapan. Kami juga mahu menjadi jenama yang dipercayai dan diidamkan oleh setiap pengguna trak,” kata Matsouka.


Gambar:isuzu.net.my