Isu Vaksin: Tawakal Tanpa Usaha Salah Di Sisi Islam

KUALA LUMPUR – “Islam sangat memandang tinggi nyawa seorang individu Muslim. Nyawa seorang individu adalah ibarat sebuah umat.”


Demikian tegas Yang Dipertua Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia, Prof. Madya Dr. Oteh Maskon berhubung kepentingan pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat Islam.


Beliau berpandangan pihak yang angkuh mengenai pengambilan vaksin yang perlu diubati terlebih dahulu kerana sikap mereka mampu membunuh lebih banyak nyawa tidak bersalah.


“Menjadi kebimbingan bagi kami bahawa sikap ‘arrogance’ dan ‘ignorance’ inilah yang mampu membunuh. Sikap kesombongan inilah yang perlu diubati terlebih dahulu.


“Di bulan Ramadan ini, kami menyeru ibu bapa serta masyarakat untuk membuka mata dan lapangkan minda untuk menyedari kepentingan berusaha sebelum bertawakal.


“Benar, kematian itu berlaku di tangan Allah. Tetapi sebagai seorang Muslim, kita harus berusaha sebelum menyerahkan segalanya kepada Allah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Selebriti Imam Muda Ammar baru-baru ini memuat naik satu posting di akaun Facebook miliknya tentang pengambilan vaksin kepada kanak-kanak.


Isu Vaksin: Tawakal Tanpa Usaha Salah Disisi IslamImam Muda Ammar

Beliau mempertikai dan memperlekeh pengambilan vaksin dengan mendakwa vaksin tidak akan membantu melambatkan kematian seseorang kerana hal itu ditentukan oleh Allah.


Isu mengenai pengambilan vaksin timbul apabila dua mangsa maut akibat menghidap sakit difteria dan pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka tidak menerima imunisasi yang lengkap.


Akhir-akhir ini wujud segelintir golongan ibu bapa yang tidak mahu anak mereka diberikan suntikan vaksin kerana mereka mempercayai khabar angin dari Internet tentang bahaya pengambilan vaksin.


Oteh berkata, program imunisasi yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia salah satu usaha sebelum bertawakal bagi melindungi rakyat daripada penularan penyakit berjangkit itu.


“Perbuatan tawakal tanpa usaha adalah salah di sisi syariat Islam,” katanya. – MYNEWSHUB.CC