Ismail Mohamed Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh Berkuat Kuasa Serta-merta


  • Print

  • Email

Details

Published on Friday, 24 June 2016 23:27







Foto Fail: Sinar HarianFoto Fail: Sinar HarianJOHOR BAHARU: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh Ismail Mohamed secara automatik memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh berkuat kuasa serta-merta ekoran pengumuman pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari parti, hari ini.


Dalam kenyataan di sini, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Md Jais Sarday berkata surat pengesahan kedudukan Ismail sebagai pemangku akan dikeluarkan selewat-lewatnya Isnin (27 Jun) memandangkan esok dan lusa, ibu pejabat UMNO ditutup kerana cuti hujung minggu.


"Kenyataan selanjutnya akan dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor selewat-lewatnya esok," katanya di sini malam ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, siang tadi mengumumkan pemecatan Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin.


Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahliannya sehingga Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.


Muhyiddin, 69, yang merupakan Anggota Parlimen Pagoh sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya ke-5 pada 1978, merupakan Ketua UMNO Bahagian Pagoh dari 1986.


-BERNAMA