Idamkan Anak Yang Bijak? 4 Tip Ini Bantu Bayi Anda Jadi Pintar





Minda anak anda bertindak seperti span pada usia bawah 12 bulan. Ia akan menyerap apa sahaja bentuk pengajaran yang diberikan kepadanya. Jika mahu bayi menjadi seorang yang pintar, anda perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi membantu bayi mencapai potensi diri sepenuhnya.   



1. Ulang sebut



Bayi cepat belajar jika anda sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten. Anda berdua perlu sentiasa mengulangi sesuatu fakta kepadanya. Sebagai contoh, jika mahu mengajar tentang warna, sebutkan warna itu dengan kerap. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika anda ternampak abjad atau nombor berdekatannya, sebutkan dengan kuat.  Biarkan anak anda mendengar. Jika anda lakukannya secara kerap, bayi akan cepat belajar. Anda juga boleh cuba meletakkan sekumpulan barang berwarna sama di hadapan anak anda. Seterusnya sentiasa ulang sebut warna itu. Ini adalah teknik pengajaran yang terbaik untuk bayi.



2. Jangan berbahasa bayi



"Goo goo gaa gaa!" Bahasa bayi sebegitu mengagumkan dan ia sememangnya sangat menarik apabila anda melihat bayi comel berbahasa begitu. Tetapi jangan pula anda mengikut bahasanya yang pelat itu jika mahu mengajarnya berkomunikasi. Jangan sesekali bercakap bahasa bayi apabila anda bersama dengannya. Sebaliknya, bayangkan anda sedang bercakap dengan orang dewasa. Paling bagus bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul. Anda pasti teruja bila bayi dapat belajar dengan pantas dengan bahasa yang betul.



3. Beri ganjaran



Sama seperti anak yang sudah besar, bayi juga suka jika diberi ganjaran. Dia suka bila anda memberinya pujian, pelukan dan ciuman. Cubalah berkata "Adik pandai" sambil menepuk tangan, apabila bayi anda berjaya  memasukkan blok mainan dalam kotak kecil. Pasti dia secara spontan menunjukkan riak wajah gembiranya kepada anda. Apa yang pasti, bayi suka dibelai dan dimanja dengan ucapan sayang. Selain itu, anda juga boleh memberikan ganjaran dengan memberikannya biskut kegemaran jika dia melakukan apa yang anda suka.



4. Bacakan buku



Anda berdua pasti sudah biasa dengan cara ini. Perkenalkan buku pada seawal usianya dan ciptakan rasa gemar kepada buku. Bacakanlah kepadanya walaupun dia belum faham apa yang dibacakan. Sambil bayi anda duduk di atas ribaan, pegang tangannya untuk dia merasai tekstur dan membelek buku itu. Ada waktunya, bayi anda mungkin akan cuba menggigit buku . Tidak mengapa. Anda cuma perlu pastikan buku itu dihasilkan daripada jenis fabrik atau kain. Teruskan lah membacakan buku kepadanya supaya dia juga suka membaca buku kelak. Bayi anda akan cuba meniru anda membaca buku dan diharapkan dia berupaya membaca sendiri nanti.




Layari laman web