Ibu Disyaki Mengelar Anak Berusia 2 Bulan Dihadapkan Ke Mahkamah

Kota Bharu: Suri rumah yang disyaki mengelar anak perempuannya berusia dua bulan sehingga mati awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret tadi.

Fadilah Mohd Zain, 32, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azrul Hasyimi Muhammad.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh anaknya, Nur Areesa Sofea Jiry di sebuah rumah di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang, 4 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan manakala tertuduh diwakili peguam Shamsul Baharin Abdullah.

Mahkamah menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan laporan kimia dan perubatan tertuduh.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bayi perempuan ditemui mati dengan kesan kelar di leher.

Mangsa dipercayai dikelar ibunya dengan menggunakan pisau pemotong sayur.