Ibrah peristiwa Bani Israel di Jabal Musa


 


Kisah Nabi Musa a.s dan kaumnya Bani Israel terlalu banyak diceritakan dalam al-Quran, selepas mereka diselamatkan dari kezaliman Firaun maka Allah memerintahkan mereka menuju Baitul Maqdis untuk membina kehidupan yang baru.


“Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.” [ Surah Al-Baqarah: 50 ]


“(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat).” [ Surah Al-Maidah: 21 ]


Dalam tempoh perjalanan itu jugalah berlakunya peristiwa di Gunung Tursina di mana Nabi Musa a.s diperintah untuk menerima wahyu selama 40 hari di puncak gunung manakala kaumnya tanpa disangka membuat patung anak lembu untuk disembah dalam pemergian Nabi Musa a.s, walaupun pada masa itu Nabi Harun a.s telah dilantik untuk mengawasi mereka.


“Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).”

[ Surah Al-Baqarah : 51 ]


Peristiwa ini hanya cebisan dari pelbagai cabaran dan ragam yang dihadapi Nabi Musa a.s dalam perjalanannya baginda menuju Baitul Maqdis. Di sana terdapat beberapa perkara yang boleh diambil sebagai pengajaran daripada peristiwa ini:


1. Dalam proses untuk membawa manusia meninggalkan jahiliyyah mahupun kezaliman, kita harus menyediakan destinasi baru untuk mereka tujui, sama ada dari segi suasana mahupun amalan seharian. Pilihan baru harus diberi bagi menggantikan kekosongan apabila perkara lama ditinggalkan. Sepertimana Allah memerintah Nabi Musa dan Bani Israel menuju Baitul Maqdis dalam menyelamatkan mereka dari kezaliman Firaun di Mesir.


2. Nabi Musa a.s mendaki Gunung Tursina yang tinggi itu semata-mata untuk mendapatkan wahyu demi menyampaikan hidayah buat kaumnya, ternyata pendakian itu bukanlah suatu yang mudah ditambah lagi untuk kekal di atas itu selama 40 hari. Maka begitulah seharusnya seorang daie perlu serius dalam mencari input untuk membawa dakwahnya, tidak seharusnya bermalas-malasan dalam urusan tarbiyah dirinya dan harus aktif bergerak untuk mengutip pengalaman di mana sahaja.


3. Sepanjang pemergian Nabi Musa a.s baginda telah melantik Nabi Harun a.s untuk mengganti tempatnya. Seorang ketua juga perlu sentiasa mencari pengganti kerjanya jika dia terpaksa bermusafir kerana urusan tertentu, dan orang tersebut mestilah setanding dengannya dari segi keupayaan agar kerjanya itu tidak terabai dan mampu berjalan dengan lancar seperti kebiasaan.


4. Ketaatan kepada pengganti katua adalah perlu supaya tidak terjerumus dalam lembah kesesatan dan kebinasaan. Bertindak mengikut buah fikiran sendiri sepanjang ketiadaan ketua akan mengucar-kacirkan keadaan sepertimana yang telah berlaku kepada Bani Israel yang telah menyembah patung anak lembu dan mengingkari arahan Nabi Harun a.s.


Ustaz Mustafa Masyhur berkata dalam bukunya Toriq Ad-Dakwah (Jalan Dakwah) :


“Para musafir yang melalui jalan apapun mestilah mempercayai jalan yang mereka lalui dan berpuas hati bahawa itulah jalan yang akan menyampaikan mereka kepada tujuan yang mereka maksudkan supaya mereka tidak sesat dan tidak hilang di tengah jalan. Supaya mereka terus berjalan dan tidak berganjak lantaran ragu atau kerana tidak percaya. Supaya mereka tidak berpindah ke jalan lain lalu mereka bercerai-berai mengikuti berbagai-bagai jalan.”


www.indahnyaislam.my