Himpunan RUU 355 salah guna jentera kerajaan negeri Kelantan

19 Februari 2017 | ARIF ATAN


Ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam dipercayai mengangkut peserta himpunan usul Hadi

Himpunan bermotif politik parti di ibu negara semalam terbukti menyalahgunakan jentera kerajaan negeri Kelantan. Tinjauan Malaysia Dateline di sekitar ibu negara mendapati sebuah bas Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan diparkir di bahu jalan tidak jauh dari pusat beli-belah Sogo.

Dipercayai mengangkut peserta himpunan bertemakan warna ungu itu, penemuan bas di Jalan Tuanku Abdul Rahman menimbulkan persoalan tentang kaitan kerajaan negeri Kelantan dengan program anjuran Pas terbabit.

Hal ini memandangkan pindaan Akta 355 bukan agenda kerajaan negeri Kelantan sebaliknya hanya agenda peribadi Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Tindakan yang dilihat menyalahgunakan wang rakyat itu menyamai apa dilakukan Umno-BN selama ini dengan paling menonjol melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Biro Tatanegara (BTN).

Selain itu, Malaysia Dateline juga menemui poster dikeluarkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan yang terpampang ungkapan "Kami Sokong RUU 355" berserta tulisan jawi bagi 'kami sokong'.

Diikuti #supportRUU355, poster itu bagaimanapun dijadikan alas duduk petang semalam oleh beberapa peserta yang ingin mengikuti siri ceramah tanpa henti dari pentas di tengah Padang Merbok itu.


Bukti kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dana yang bukan sedikit untuk himpunan usul Hadi