Henti main isu halal untuk kelirukan masyarakat, kata Asyraf Wadji

TANJUNG MALIM: Umat Islam di negara ini diminta merujuk kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam negeri untuk mendapatkan maklumat lebih tepat dan jelas mengenai isu status halal haram.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana masyarakat kini gemar menularkan isu status halal atau haram sesuatu di media sosial tanpa merujuk kepada pihak terbabit terlebih dahulu.

“Kalau kita lihat suasana hari ini banyak isu yang berkaitan dengan halal ini dikitar semula, ada isu yang 3-4 tahun lepas kembali dibangkitkan walaupun ada pihak yang sudah menjawab dan menangani isu tersebut.

“Dalam dunia media sosial ini kita tidak boleh halang tetapi masalahnya masyarakat suka menularkan isu seperti ini untuk memainkan sentimen dengan niat tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Asyraf diminta mengulas mengenai kecenderungan pihak tertentu yang sering menularkan isu status halal atau haram di media sosial sejak kebelakangan ini untuk mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, beliau menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dengan Darul Quran Jakim bagi membolehkan graduan Darul Quran menyambung pengajian dalam bidang agama di Upsi.
Sementara itu, Asyraf berkata graduan Darul Quran digalakkan menyambung pengajian dalam bidang agama di peringkat ijazah sarjana muda di Upsi agar mereka tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan negara.

Beliau berkata selepas Universiti Sains Islam Malaysia, graduan diploma Darul Quran kini berpeluang mendapat pengecualian serta pemindahan jam kredit untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Upsi.

“Ini merupakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dalam melahirkan jati diri dalam kalangan golongan hafazan al-Quran.
“Diharap kerjasama ini akan menjadi titik tolak kepada kita bagi melahirkan generasi rabbani atau ulul albab sejajar dengan Transformasi Nasional 2050,” katanya.