Hafiz failkan cerai, Joy pula dakwa Hafiz tak mampu beri nafkah batin


SHAH ALAM, SELANGOR - Penyanyi, Hafiz Hamidun memfailkan cerai terhadap isterinya, Joy Revfa atau nama sebenar Siti Arifah Mohd Amin, di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, hari ini, lapor Harian Metro. 

Hafiz yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

Antara alasan yang diberikan Hafiz dalam penyataan samannya, tidak wujud persefahaman di antara mereka selain mendakwa wanita itu melawan dan mengingkari segala suruhannya sebagai suami termasuk menjatuhkan imej dan repustasinya. 

"Joy juga menyusahkan saya selepas bernikah kerana gagal memberi sijil cerai dengan bekas suami yang mana menyebabkan status perceraian mereka hanya diselesaikan 10 Oktober lalu," katanya. 

Difahamkan, saman berhubung permohonan cerai itu akan diserahkan kepada Joy pada petang ini. Hafiz berkata, dia terfikir untuk memfailkan perceraian itu dua hari lalu selepas kes pengesahan cerai antara Joy dengan bekas suaminya pada 12 Januari 2015, disahkan Mahkamah Syariah Shah Alam. 

Berhubung dengan dakwaan Joy yang mengatakan mereka sudah pernah bersama, Hafiz berkata Joy patut waras dan sedar dengan apa yang diperkatakannya. 

Hafiz juga menegaskan dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Joy masih mengeluarkan kenyataan negatif berkaitan dirinya kepada umum namun buat masa sekarang dia hanya mahu fokus pada kes syariah. 

Sementara itu di sidang media Joy yang diadakan di Pejabat Urusan Merve, Vista Alam, Joy berkata, tindakan Hafiz memfailkan perceraian itu seolah-olah menampakkan Hafiz mengaku perkahwinan mereka yang diragui selama ini adalah sah. 

"Kenapa dia memfailkan perceraian, ini bermakna dia mengakulah saya ini isteri dia sedangkan kami masih menunggu lagi keputusan kes faraq," katanya.

Selain itu juga, Joy berkata, Hafiz bukan 'taste' dia, malah menegaskan Hafiz bukan lelaki yang bertanggungjawab, tidak layak untuk dirinya dan tidak mampu memberi nafkah batin kepadanya. 

Joy juga menafikan kononnya pernah mengeluarkan kenyataan sudah melakukan hubungan seks dengan Hafiz. Sebaliknya Joy hanya mengeluarkan di mana Hafiz menyentuhnya sahaja. Dalam masa yang sama, Joy meminta media dan beberapa laman blog berhenti menggunakan perkataan seks. 

"Bagi saya dia bukan seorang suami yang bertanggungjawab, bersifat melindungi, yang baik untuk saya. Saya akan teruskan perceraian ini. Dia sememangnya tidak sesuai dan tidak layak menjadi suami saya. Dia tidak boleh memberi nafkah batin," katanya.