H355 Siasat Dakwaan Wujud Unsur Provokasi

  • Print
  • Email
Details

Published on Monday, 20 February 2017 23:01

Pic: Sinar HarianPic: Sinar HarianSHAH ALAM – Pengerusi Himpunan 355, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sangat berpuas hati dengan himpunan itu yang dikatakan berlangsung aman dan berakhir tanpa sebarang provokasi.

Beliau berkata, meskipun himpunan mendapat sambutan dan kehadiran yang memberansangkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kekerasan atau salah laku sepanjang tempoh himpunan diadakan.

“Cuma buat masa kini pihak kami masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan beberapa individu yang didakwa peserta Himpunan 355 yang didakwa membakar bendera DAP tanda provokasi.

“Setakat maklumat yang kita dapat, mereka bukan peserta Himpunan 355,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Mengulas mengenai himpunan yang berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur, kelmarin, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mula menjalankan kerja pembersihan sehingga jam 4 pagi.

“Petugas unit Amal kita menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kerja mengutip sampah sehingga awal pagi.

“Kita sudah pastikan sampah bebas daripada kawasan Padang Merbok," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan denda kerosakan padang yang dikenakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pihaknya.

“Kita belum adakah mesyuarat post-mortem (bedah siasat) berkenaan himpunan, jadi kita tidak dapat tahu sama ada benar atau tidak pegawai DBKL hadir memeriksa padang dan mengenakan denda ke atas kita,” jawabnya.

- Sinar Harian