Guru Rogol Anak Murid Dipenjara Dan Sebatan.

Kuala Lumpur : Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 12 sebatan terhadap guru Pendidikan Jasmani sekolah rendah kerana merogol anak muridnya pada 2011 dan 2013.

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh, Mohd Ezlie Azram Mohammad Khasasi, 38, bersalah apabila pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan duda dua anak itu menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Mohd Ezlie didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun antara 1 tengah hari dan 3 petang, 3 Disember 2011 sebelum mengulanginya pada pertengahan Ogos 2013.

Kedua-dua kejadian didakwa berlaku di rumah tertuduh di Batu Caves dekat sini.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.-Harian Metro