Fattah Amin Buat Niena Baharun Gementar

Bintang baru yang popular menerusi drama 'Sayang Ku Kapten Mukhriz' iaitu Niena Baharun, mengakui gementar berlakon dengan jejaka yang bernama Fattah Amin.

"Pertama kali saya digandingkan dengan Fattah Amin saya akui memang 'nervous' sebab dia begitu popular. Kami pun tak pernah jumpa dan tiba-tiba masuk set sama-sama.

"Buat masa ini masih belum banyak babak dengannya. Namun alhamdulillah, Fattah memberikan kerjasama yang baik dengan saya," ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama 'Dia Anak Jeneral'.

Mengetahui Fattah mempunyai peminat yang suka melihat gandingannya bersama Neelofa, Niena Baharun atau nama penuhnya Amaniena Baharun, 24, sedia terima cabaran seandainya dikecam kerana lakonan bersama Fattah tidak diterima baik.

"Bagi diri saya jika ada kecaman sebegitu, saya tidak akan ambil peduli kerana memang beginilah cara saya bekerja. Tetapi kalau ada kritikan membina saya akan ambil dan perbaiki kelemahan lakonan saya," katanya.

Niena merupakan heroin yang memegang watak sebagai Syirin di dalam drama 'Dia Anak Jeneral', 26 episod, arahan Khalid Nadzri.