Farhan, Serra artis pertama Paradox Music

WALAUPUN tidak dapat meneruskan perjuangan di pentas Mentor Milenia 2017, perjalanan seni Farhan dan Serra, tidak berhenti separuh jalan.

Lebih beruntung, mereka akan menjadi artis pertama di bawah syarikat pengurusan milik Akim dan Hazama iaitu Paradox Music.

Menurut Akim, kewujudan Paradox Music merupakan perancangan jangka panjangnya bersama Hazama.

“Ini adalah projek pertama kami dalam industri, jadi kami harap segalanya berjalan dengan lancar,” katanya pada Media Hiburan.

Farhan dan Serra tersingkir dalam konsert pengenalan pertama Mentor Milenia 2017 di bawah pimpinan Akim dan Hazama.

Mengulas mengenai penyingkiran Serra, Hazama berpendapat Serra mempunyai tarikan tersendiri sekali gus mampu pergi lebih jauh dalam industri.

“Persembahan Serra bukanlah standard protege sebaliknya bagaikan artis sebenar. Saya tak mahu format realiti TV ini, akan ‘memakan’ bakat sebenar yang dimilikinya,” katanya.

 Akim pula berpendapat setiap protegenya mempunyai bakat dan kelebihan tersendiri yang masih boleh digilap.

“Pemilihan ini agak sukar. Saya terkejut dengan Farhan, masa reherseal, energy yang diberikan sangat berbeza berbanding sebelum ini. Malah, perbezaan markah di antara mereka juga terlalu dekat,” katanya.

Ada kekuatan tersendiri

Penyingkiran tersebut sekali gus menyaksikan Hazama memilih Usop dan Balqis sebagai protege.

Menurut Hazama, kedua-dua protegenya itu ada kekuatan tersendiri.

“Sebenarnya, Usop sendiri adalah pilihan masyarakat Malaysia. Lagipun, majoriti pendengar hari ini memang gemar dengan rentak lagu yang dibawakannya. Jadi saya tak boleh menidakkan pilihan pendengar.

“Untuk Balqis, saya tak risau walaupun dia ialah bekas artis KRU Music. Biarpun dasar muziknya dangdut, tetapi hala tuju muziknya itu boleh di pelbagai,” katanya.

Akim pula memilih Anna dan Elica sebagai protege bagi meneruskan saingan dalam program realiti tersebut.

“Kebetulan tujuan utama saya dalam program ini adalah untuk melahirkan bakat wanita. Jadi, inilah masanya untuk menyumbangkan tenaga saya ke arah itu,” katanya.

Selepas ini, penentuan untuk pemilihan protege Black dan Tomok pula akan diadakan pada 19 Februari depan.

Mentor Milenia 2017 bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2 dan dipancarkan di TV3 pada setiap Ahad bermula jam 9 malam.