Fahami Isu Pemecatan Muhyiddin Dan Mukhriz

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta semua UMNO negeri menerima pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan hati terbuka.


Jelasnya setiap ahli UMNO perlu memahami bahawa pemecatan itu tidak berlandaskan sentimen kenegerian, sebaliknya dilakukan atas kesalahan disiplin.


“Kalau keputusan pemecatan ini diterima sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (UMNO), sepatutnya UMNO di perhubungan negeri juga perlu menerimanya.


“Perkara ini penting bagi kita kerana semua pihak tak kira UMNO di Johor atau di mana-mana negeri pun perlu memahami apa sebab keputusan (pemecatan) itu dibuat,” katanya selepas mengagihkan 1,000 bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Taman Setiawangsa, di sini, hari ini.


Jumaat lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Muhyiddin, yang sebelum ini digantung daripada jawatan Timbalan Presiden, dipecat daripada UMNO bersama-sama Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin.



Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.


Hishammuddin turut meminta Muhyiddin dan Mukhriz agar tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan perjuangan UMNO walaupun selepas mereka dipecat daripada parti itu.


Beliau berkata kedua-dua mereka perlu berpegang teguh kepada apa yang pernah dinyatakan dalam parti sebelum ini untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara menerusi UMNO.


Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata keputusan MT UMNO terhadap Muhyiddin dan Mukhriz itu bukanlah tindakan luar daripada kebiasaan politik.


“Kita pentingkan parti, kes ‘lawan tauke’ ini bukan perkara baharu kerana sebelum ini kita pernah berhadapan perkara sama melibatkan Anwar (Datuk Seri
Anwar Ibrahim) dan Musa Hitam (Tun Musa Hitam) yang bertindak menentang presiden parti pada ketika itu.


“Dalam hal ini kita harus bersikap rasional, siapa yang bersalah perlu dikenakan tindakan, Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah tonggak kekuatan parti dan disiplin adalah asas perjuangan kita, semestinya tindakan ini diambil demi keharmonian dan memperkukuh kedudukan parti,” katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perantau Anak Pahang dan Penyampaian Anugerah Cemerlang Akademi di sini, hari ini. – BERNAMA