Enam Rakyat Palestin Jadi Tali Barut Israel Dihukum Mati

GAZA – Sebuah mahkamah tentera di Semenanjung Gaza semalam, menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga lelaki Palestin selepas didapati bersalah bersubahat dengan Israel.

Kementerian Dalam Negeri kerajaan Islam Hamas, berkata ketiga-tiga tertuduh boleh mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Pada masa sama, mahkamah berkenaan turut menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga lagi rakyat Palestin yang disabitkan atas kesalahan khianat dan memberikan maklumat kepada Israel.

Bagaimanapun, semua tertuduh kes kedua itu tidak dibenarkan merayu atas hukuman itu.

Sebanyak lapan hukuman lain turut dijatuhkan, semalam, membabitkan hukuman penjara antara dua tahun hingga seumur hidup atas tuduhan sama, iaitu menjadi tali barut kepada Israel.

Sementara itu, menurut Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR), sebanyak empat warga Palestin sudah dijatuhkan hukuman mati sepanjang tahun ini, oleh mahkamah di Semenanjung Gaza. – AFP