Elfira dilamar TV AlHijrah

Tahun ini Elfira Loy, 26, berhasrat memperlahankan kerjaya lakonannya demi memberikan fokus kepada perniagaan kafe yang diusahakannya setahun lalu.

Selain itu dia juga mahu mencuba bakatnya dalam bidang pengacaraan.


Ternyata hasratnya itu pantas dimakbulkan Allah SWT apabila awal Februari lalu dilamar TV AlHijrah (TVAH) untuk menjadi pengacara program Assalamualaikum yang bersiaran secara langsung dari jam 8 hingga hingga 10 pagi.

Kemunculannya nyata menyerikan lagi program itu yang akan dikendalikan dengan pengacara sedia ada secara bergilir seperti Raja Farah Raja Aziz, Irma Hasmie, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Nor Farahanim Abd Razak, Amie Sofia Ahmad, Hurair Nordin, Khairul Wasiril dan Raja Noor Anis Suefiya Raja Arif Shah.

Selain Elfira, Fara Fauzana dan Datuk Nurul Zahid turut tampil mengacarakan Assalamualaikum.

Menurut Elfira, dia akan mula bersiaran pada 1 Mac ini, seminggu sekali iaitu setiap Sabtu. Bagaimanapun katanya, jika dia ada keperluan lain pada hujung minggu itu, dia boleh berbincang dengan penerbit untuk bersiaran pada hari lain.

“Peluang yang diberikan TVAH itu bak kata pepatah pucuk dicita ulam mendatang kerana saya memang berhasrat mahu memperlahankan lakonan kerana ia mengambil masa lama di lokasi berbanding dalam lapangan pengacara. Saya perlu tumpu kepada kafe kerana hasil usaha saya selama 10 tahun berlakon dilaburkan dalam perniagaan itu. Selain itu, tawaran TVAH juga seiring penampilan saya yang berhijab sekarang.

“Justeru, peluang daripada TVAH itu seolah-olah melengkapkan jalan hidup saya di mana pada usia sekarang saya perlu lebih banyak belajar serta mendalami agama. Lingkungan dan persekitaran stesen TV itu amat me­nyenangkan dan memberikan ketenangan kepada saya. Sebaik saja melangkah ke studio TVAH yang terletak di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, saya rasa sangat seronok. Dapat bekerja di sana 24 jam sehari pun tidak mengapa.

“Melihat wajah baru studio yang sofistikated, cara bekerja kru yang begitu cekap dan wawasan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izelan Basar yang mahu TV itu ‘terbang jauh’ sehingga ke peringkat antarabangsa, saya terus jatuh cinta.” katanya.

TERUJA TERIMA TAWARAN

Dalam keterujaan Elfira menerima tawaran sebagai pengacara Assalamualaikum, terselit juga kebimbangan di hatinya kerana sebagai stesen TV Islamik pertama di negara ini, pastinya dia perlu ada pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu agama.

“Soal agama tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi saya akan bersiaran secara langsung. Bagaimanapun, selepas melihat segmen dalam Assalamualaikum saya berasa sedikit lega kerana ia bukan saja tertumpu pada persoalan agama tetapi ada sudut DIY dan pelbagai segmen lain yang lebih santai. Selain itu, saya tidak akan berseorangan ketika bersiaran kerana saya akan digandingkan dengan pengacara lain,” katanya.

Elfira ditemui pada pelancaran kandungan baru TV AlHijrah Soaring On Air di AlHijrah Big Studio (ABS), Cyberjaya, kelmarin.

Majlis pelancaran berkonsepkan dalam pesawat penerbangan itu sejajar aspirasi, misi dan visi Izelan yang mahu membawa TVAH melangkaui lautan dan sempadan negara.

Antara kandungan program yang akan menemui penonton, Program Realiti, Berita dan Isu Semasa Terbaik, Program TV Terbaik yang merangkumi Drama, Sitkom, Dokumentari, Masakan, Bual Bicara Agama, Program Majalah seperti Cat Talk Si Meow, Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa 2017 dan Majlis Hafazan Antarabangsa 2017.

Bagi memberi pendedahan awal ilmu agama kepada si kecil, TVAH akan mewujudkan saluran khusus untuk kanak-kanak dan saluran al-Quran.

Menurut Izelan, dalam laporan World Islamic Economic, Malaysia berada pada tangga ke-33 dalam senarai negara pengeluar kandungan Islamik.

“Kami juga akan melaksanakan pertukaran program bersama stesen TV Islam dari negara lain dalam rangka MoU yang sedang disusun,” katanya.