ECU TuneBoss bolehtala ditawarkan anak tempatan

ECU merupakan sistem kawalan enjin atau engine control unit yang mengawal operasi enjin secara elektronik bagi menentukan masa dan jumlah bahanapi yang  disuap kedalam enjin. ECU motosikal pengeluaran lazimnya tidak boleh ditala atau diubah parameternya bagi meningkatkan kuasa di arena perlumbaan, kecuali dengan menggunakan ECU keluaran pihak ketiga, ataupun bagi motosikal yang didatangkan dengan ECU bolehtala seperti model SYM 125 Sportrider.

IMG_3784-1

Kini satu satunya syarikat tempatan yang menawarkan ECU bolehtala untuk motosikal bersesaran kecil iaitu FSR Technology telah melancarkan ECU TuneBoss versi terbaharu mereka sebentar tadi. Versi TuneBoss yang dilancarkan hari ini direka untuk model motosikal Yamaha R25, Yamaha Lagenda 115z dan Honda RS150R.


Degan versi terbaharu ini, TuneBoss kini menawarkan sejumlah sepuluh jenis model ECU bolehtala untuk kegunaan motosikal yang ada dalam pasaran tempatan. Di antara model yang sedia ada termasuklah Yamaha FZ150i dan Yamaha Y15ZR yang juga dikenali sebagai Exciter150 atau MX King di beberapa negara lain.

IMG_3790-1

ECU TuneBoss mampu menaiktaraf kemampuan sesebuah motosikal dengan membolehkan pemilik motosikal untuk menukar talaan pada sistem enjin, seperti mengubah campuran petrol dan udara pada sistem pembakaran dan juga menukar kadar nyalaan palam pencucuh.  Bagi penggunaan di litar lumba, pengguna ECU TuneBoss boleh mengaktifkan   “Race Package” yang mempunyai tambahan fungsi peralihan gear pantas atau “Quick Shifter” dan juga kawalan pelancaran atau “Launch Control”.


Yang menariknya, kesemua fungsi TuneBoss ini boleh dikawal menggunakan telefon bimbit atau tablet Android melalui aplikasi TuneBoss Manager, yang boleh dimuat turun secara percuma. Sambungan kepada ECU TuneBoss adalah melalui Bluetooth, tanpa sebarang wayar. Melalui aplikasi tersebut, TuneBoss mampu memberi bacaan atau amaran yang jelas dan mudah difahami oleh pengguna. Rekod maklumat atau “Data logging” berkapasiti tinggi juga boleh dibuat melalui applikasi Android ini.


Keselamatan penunggang tetap diberi keutamaan, dan aplikasi TuneBoss boleh menghantar isyarat  kecemasan melalui SMS jika motosikal dikesan terjatuh dan tiada respon dari penunggangnya. Lokasi GPS terkini juga disertakan di dalam SMS tersebut.


Walaupun ia mempunyai pelbagai fungsi berkuasa seperti ini, pemasangan TuneBoss adalah sangat mudah, iaitu semudah cucuk-dan-main atau “Plug and Play”. Tiada sebarang pendawaian diperlukan kerana TuneBoss menggunakan penyambung OEM yang sama seperti ECU asal. TuneBoss yang merupakan 100% produk anak Malaysia ini telah dijual diseluruh dunia termasuk Thailand, Filipina, Vietnam, Eropah dan Mexico.


Kemampuan TuneBoss telah pun dibuktikan di litar lumba, di mana pasukan KKMR RNM TUNEBOSS Racing menjuarai perlumbaan pertama KBS-MAM Kapcai Endurance. Ini merupakan kali pertama motorsikal “fuel injection” memenangi acara tersebut.

ECU TuneBoss juga akan gunakan oleh pasukan TKKR Racing dalam perlumbaan Cubprix 2017 (Yamaha Y15) dan ARRC (Yamaha R25).


IMG_3778_lzn

Pemenang cabutan bertuah, Muhammad Zulhanif Bin Hamidon kiri menerima replika kunci motosikal dari Farhan, dan disertai Pn Eliza Elias, AVP, Cradle Fund Sdn Bhd


Semasa pelancaran hari ini, FSR Technology juga menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah yang telah berlangsung dari 15 Januari ke 15 Februari 2017. Pemenangnya Muhammad Zulhanif Bin Hamidon yang menerima sebuah motorsikal Honda RS150R yang dilengkapi dengan ECU TuneBoss.


FSR Technology ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Farhan Mohamed Ali dan Mohd Suffian Zamali, yang masing-masing merupakan jurutera elektronik berkelulusan sarjana (M.Sc. Electrical & Computer Engineering) dari Amerika Syarikat. Visi mereka adalah untuk membina syarikat berteraskan Kajian & Pembangunan “Research & Development” bagi merekabentuk sebuah produk unggul. Mereka telah mengambil masa 3 tahun melakukan R&D bagi menghasilkan ECU TuneBoss melalui pembiayaan sendiri dan juga disokong dengan geran pembangunan dari Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.


Dengan latar belakang merekabentuk cip, mereka juga memberi khidmat rundingan dan menjalankan kerja-kerja R&D untuk IP perkakasan khas (FPGA, Soft IP).

IMG_3802-1

Untuk motosikal satu silinder, harga ECU TuneBoss ini adalah sekitar RM600 (USD150) manakala ECU bagi jentera dwi-silinder pula adalah sekitar RM1,000 (USD 230) yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan produk import yang berkisar sekitar RM2,000.


Untuk maklumat lanjut, sila layari laman www.tuneboss.co atau laman facebook mereka: www.facebook.com/fsrtech


IMG_3807-1 IMG_3805-1 IMG_3795-1 IMG_3791-1