Disabotaj Gara-gara Naikkan Harga

Penyanyi Ameng menjelaskan kenaikan harga bayaran yang diterima wajar dan normal buat penyanyi berpengalaman sepertinya yang sudah mempunyai pengalaman selama 27 tahun sebagai penyanyi.

Selain itu beliau turut menyifatkan kenaikan harga bayaran yang diterima sebagai perkembangan positif untuk meneruskan survival dalam industri seni.

Memetik laporan Kosmo online, Ameng berkata, dia bukan demand sebaliknya di masih wars dalam meletakkan harga bagi sesebuah persembahan.

"Saya bersyukur kerana sejak berakhirnya program berkenaan, tawaran persembahan semakin banyak. Hal ini kerana sudah ramai orang tahu yang saya telah kembali menyanyi sejak keluar dari Penjara Kluang, Johor pada Jun tahun lalu.

"Saya bukan demand, tetapi harga bayaran telah naik secara automatik selepas keluar dari penjara lagi. Selepas GV3, memang harga bayaran ada meningkat sedikit, tetapi bagi saya ia adalah kenaikan yang wajar, seiring dengan pengalaman 27 tahun dalam industri seni serta 15 buah album yang dilahirkan bersama kumpulan Spring.

"Saya juga ada sekitar 30 sehingga 40 lagu popular, jadi kenaikan kadar bayaran bukan satu isu kerana ia adalah perkara yang normal. Lihat sahaja penyanyi seangkatan seperti Ziana Zain dan beberapa penyanyi lain, semuanya sudah ada harga tetap sendiri. Saya juga masih waras dalam meletakkan harga. Biasanya harga yang diberi haruslah berbaloi dengan jumlah lagu yang akan dinyanyikan," katanya.

Dalam pada itu, Ameng berkata gara-gara harga yang dikenakan, ada juga pihak promoter yang cuba mensabotaj dengan menabur pasir dalam periuk nasinya. Pihak tersebut menipu kepada pihak penganjur tentang harga dan jadual kerja saya.

"Saya ingin nasihatkan mereka supaya berhenti melakukan perbuatan seperti itu. Untuk pihak penganjur, jika ragu-ragu, kalian boleh berhubung terus dengan saya tanpa menggunakan orang tengah. Apapun saya maafkan sahaja kerana percaya pada rezeki Allah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ameng bakal muncul dengan single ciptaanya, Antara Cinta Dan Rindu dan satu lagi single berjudul Pasrah Insan Jalanan.