Difteria: Tiada Rakan Mangsa Alami Gejala Serupa


  • Print

  • Email

Details

Published on Thursday, 23 June 2016 17:35







Foto Fail: Berita HarianFoto Fail: Berita HarianPUTRAJAYA: Tiada rakan sekolah dan rakan sepermainan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Ujong Pasir, Melaka, yang meninggal dunia akibat jangkitan difteria, mengalami gejala serupa setakat ini.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan‎ kawalan masih dijalankan di rumah mangsa, tadika, sekolah dan kawasan kejiranan bagi mengesan kontak (hubungan) rapatnya di Melaka dan kes difteria yang dilaporkan di Kuala Muda, Kedah.


"Kesemua kontak rapat (35 kontak di Melaka dan lapan di Kedah) telah dikenal pasti, dan mereka yang bersimptom telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan.


"Sampel klinikal daripada kesemua kontak rapat telah diambil untuk ujian di mana sampel bagi sembilan kontak di Melaka telah disahkan negatif, manakala yang lain masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata kesemua anggota keluarga dan kontak rapat pesakit juga diberikan rawatan profilaksis antibiotik dan status kesihatan mereka dipantau rapi oleh petugas kesihatan.


Dr Noor Hisham berkata, pendidikan kesihatan berkaitan difteria serta cara kawalan dan pencegahan turut diberikan selain memberikan suntikan kepada kanak-kanak yang tercicir imunisasi.


"Sehingga kini, terdapat dua kes kematian disyaki akibat jangkitan itu dengan masing-masing satu kematian di Melaka pada Sabtu lepas dan di Kedah semalam," katanya.


Menurutnya kedua-dua kes kematian itu menunjukkan mangsa tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap, dan mereka meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.


Selain itu, dua lagi mangsa yang disahkan difteria di Melaka dan tujuh mangsa disyaki difteria di Kedah sedang dirawat di hospital.


Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae, yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan.


Dr Noor Hisham berkata, bakteria itu menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.


"Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus," katanya.


Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai, DTaPIPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b) yang diberikan pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.


Beliau berkata liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria itu.


"Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung daripada komplikasi," katanya.


-BERNAMA