Di himpunan RUU, Hadi raikan kerjasama PAS, Umno

Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk PAS dan Umno dalam isu melibatkan Islam sudah bermula sejak sebelum merdeka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu puluhan ribu peserta yang membanjiri Padang Merbok bagi menyatakan sokongan memberi kuasa lebih kepada mahkamah syariah negara ini.

Dalam ucapannya sebelum perhimpunan tamat malam tadi, presiden PAS itu berkata PAS dan Umno antara pertubuhan berjuang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya merujuk jawatankuasa ditubuhkan kerajaan Britain bagi mewujudkan perlembagaan baharu selepas Merdeka.

Hadi berkata, kerjasama serupa perlu dilakukan pada masa ini berhubung rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dicadangkannya.

“Kita hanya mengulangi sejarah lalu yang ditulis dengan tinta emas oleh pejuang kemerdekaan negara kita,” katanya lagi.

PAS dan Umno akhir-akhir ini sering “sepentas” dalam isu membabitkan orang Islam, termasuk dalam menyatakan simpati terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Beberapa pimpinan tertinggi Umno juga sebelum ini dilihat bersikap positif terhadap usaha PAS meminda akta itu.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengecam pihak yang sering mempertikai cadangannya, sambil berkata mereka perlu menumpukan terhadap apa yang disifatkannya “kelemahan undang-undang ciptaan manusia”.

“Daripada mencemuh usaha kita, lebih baik mereka bincang undang-undang lapuk yang masih menggunakan tali gantung, undang-undang rimba yang tidak mengambil kira siapa yang menjadi saksi.

“Ini yang patut dibincang mereka, bukannya mempertikai undang-undang Islam dengan kejahilan,” katanya lagi.

Perhimpunan hari ini dianjurkan PAS bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU dibentangkan Hadi bagi memperkasakan mahkamah syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, dan berakhir dengan penyertaan kecil pada 6.00 petang tadi.