Dego Ride diarah henti serta merta

Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride untuk menghentikan perkhidmatannya serta-merta kerana faktor-faktor keselamatan. Malah semalam menterinya telah mengarahkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menyaman syarikat tersebut, seperti yang tersiar di Buletin utama TV3.


Perkhidmatan teksi motosikal itu telah dilancarkan pada November tahun lepas dan setakat ini kira-kira 6,000 penunggang bernaung di bawah syarikat itu. Perkhidmatan yang menawarkan caj RM2.50 untuk tiga kilometer pertama itu mendakwa bahawa ia nya “perkhidmatan perjalanan termurah dalam bandar”.


Menteri Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian juga tidak akan mengeluarkan lesen untuk mengendalikan perkhidmatan itu pada masa ini dan akan mengambil tindakan undang-undang jika pengendali meneruskan perkhidmatan.


“Kami mempunyai kuasa untuk mengawal ini kerana ia melibatkan keselamatan yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


“Kesalahan itu adalah jelas kerana penunggang motosikal tidak boleh membawa penumpang berbayar. Jika ada unsur pembayaran, ia adalah satu kesalahan di bawah peraturan-peraturan JPJ,” kata Liow di majlis sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah Persekutuan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa, Kuala Lumpur 12 Februari lepas.


Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron dilaporkan berkata bahawa perkhidmatan Dego Ride pernah mencetuskan kontroversi kerana ia tidak mempunyai permit yang sah dan hanya boleh diteruskan jika diluluskan oleh SPAD.


Nadzri berkata, sehingga ia telah mendapat kelulusan daripada SPAD, orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan perkhidmatan teksi motosikal ini kerana ia boleh mengancam keselamatan.


Walaupun diarah henti, laman web tempahan Dego Ride ini masih lagi aktif dan menerima tempahan perjalanan. Cubaan careta.my untuk menempah satu perjalanan dari Mindef ke KLCC telah disebutharga sebagai RM2.50 untuk perjalanan tersebut. Malah laman web mereka turut menawarkan pelbagai perkhidmaan pengangkutan dua dan empat roda, namun samada mereka berlesen untuk menawarkan kesemua perkhidmatan tersebut ini tidak dapat dipastikan kerana tiada maklumat yang diberi.


icon_usp_multivehicle degoride try


Sementara itu pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj dilaporkan sebagai berkata bahawa pada masa ini, tidak ada peruntukan undang-undang untuk menghalang mereka daripada menawarkan perkhidmatan tersebut.


Liow berkata setakat ini, tiada permohonan daripada mana-mana pihak telah diterima bagi perkhidmatan Dego Ride dan ia dilihat sebagai satu perkhidmatan yang membahayakan kerana ia boleh menimbulkan masalah jalan raya dan keselamatan awam.


“Kami faham bahawa sesetengah orang ramai menggunakan perkhidmatan ini kerana masalah kesesakan lalu lintas, tetapi kita kini meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk kebaikan semua,” katanya.