Cuaca buat Zulin menunggu

Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz antara 500 yang terkandas di Pulau Tioman berikutan cuaca buruk dan ombak besar sejak kelmarin.

Zulin ketika dihubungi berkata, dia sepatutnya menaiki feri untuk pulang ke Mersing, Johor, pagi kelmarin tetapi pihak Jabatan Maritim di sana menasihatkan mereka menunggu sehingga Jumaat ini seandainya keadaan cuaca baik.


“Saya bimbang kerana wang yang dibawa makin berkurangan dan keadaan juga makin sukar kerana di sini tiada kemudahan mesin ATM.

“Wang yang ada pun hanya cukup-cukup untuk beli makanan dan minuman. Selain itu, liputan talian telefon di sini juga tidak menentu,” katanya kepada Harian Metro.

Zulin berkata, dia berharap mereka yang terkandas segera dibantu untuk dibawa pulang.

"Saya ada juga bertanya harga menaiki perkhidmatan helikopter tetapi bayarannya mencecah RM34,000 untuk ke Mersing," katanya.

Menurut Zulin, dia bersama beberapa rakannya tiba di pulau pelancongan itu petang Jumaat lalu dari jeti Mersing.

“Ketika itu juga cuaca agak buruk selain ombak besar hingga feri turut dinaiki air. Saya dan rakan-rakan menjerit ketakutan, malah turut mengalami mabuk laut. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa dua jam menjadi tiga jam,” katanya.