Cat Farish Bangkit Daripada Kemurungan

Penyanyi Cat Farish mendedahkan, beliau mengalami kemurungan selepas bercerai dengan isterinya, Hartini Ramly pada April tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli berkata, empat bulan dia menyendiri, termenung dan diselubungi perasaan rindu.

"Sejujurnya saya tak menyangka mengapa jadi begini. Selepas bercerai boleh dikatakan setiap masa terbit rasa rindu mendalam terhadap anak-anak dan bekas isteri sehingga saya memilih untuk menyendiri.

"Ketika itu macam-macam bermain di fikiran. Malah saya berada dalam keadaan yang tak terurus. Seakan-akan tidak percaya perkahwinan yang dibina selama 10 tahun akhirnya musnah.

"Melihatkan keadaan saya yang teruk, mak tak membiarkan saya tinggal seorang diri. Dia bimbang saya melakukan sesuatu yang membahayakan diri,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Cat yang juga bekas anggota kumpulan The Fabulous Cats turut berdepan masalah kewangan.

Menurut Cat, tiga anaknya kini berada di bawah jagaan bekas isteri manakala Cat bersama mereka pada hujung minggu.

Katanya, dia pernah merancang untuk rujuk semula namun gagal.

“April ini genap setahun saya bercerai. Tipu kalau saya sudah melupakan peristiwa itu. Tempoh 10 tahun perkahwinan bukannya singkat. Banyak perkara kami lalui bersama. Paling saya rindukan adalah suasana kekeluargaan itu. Saya juga rindukan detik ketika bercuti bersama-sama.

“Saya pernah menyatakan hasrat kepada mak mentua untuk rujuk semula. Malangnya perancangan itu tak berjalan dengan baik. Selepas bercerai baru saya sedar kawan yang banyak merosakkan hubungan kami. Mereka mengeruhkan lagi keadaan dengan menghasut bekas isteri.

“Tapi tak mengapa kerana setiap hari saya belajar sesuatu yang baru. Saya menganggap ini sebagai pengalaman. Sekarang saya sudah boleh meneruskan kehidupan baru,” katanya.

Mengenai perkembangan karier, Cat kini muncul dengan single baru berjudul Seram Dik Seram yang juga lagu tema drama Misteri Wan Peah yang mula bersiaran sejak kelmarin di TV3.

“Saya tak malu mengakui perkara ini. Saya termenung mengenangkan nasib diri. Sehinggakan bekas mak mentua memberikan saya duit. Betapa teruknya keadaan saya selepas bercerai.

“Namun segalanya berubah selepas saya ditegur pengarah Jinggo ketika menjalani penggambaran drama Misteri Wan Peah. Dia meminta saya berubah seperti yang dia kenal dulu.

“Sejak itu saya belajar menerima takdir dan mula berubah. Alhamdulillah orang sekeliling juga banyak membantu memberi nasihat terutamanya Eddie. Memandangkan dia pun pernah melalui pengalaman sama, jadi dia banyak berkongsi pengalamannya itu,” katanya.