Bukan sebab peribadi kami keluar dari DAP



MUKADIMAH: KRISIS dalaman DAP semakin terserlah apabila empat wakil rakyat parti itu di Melaka mengumumkan keluar parti semalam.


Hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan menjadi faktor utama Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Goh Leong San (Duyong); Lim Jak Wong (Bachang)  dan Chin Choong Seong (Kesidang) bertindak demikian sekali gus    memberi tamparan hebat kepada parti itu.

Bagi Tong Him, beliau membuat keputusan itu setelah memikir semasak-masaknya rasa kecewa terhadap pucuk pimpinan DAP yang dilihat tidak lagi mengamalkan prinsip asal perjuangan parti iaitu ‘Malaysia untuk Malaysia’.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR, wakil rakyat berusia 69 tahun itu memberitahu, beliau menyimpan kekecewaan tersebut sejak lebih setahun lalu apabila menyedari parti tersebut sudah menyimpang jauh daripada perjuangan sebenar malah lebih mementingkan agenda individu

UTUSAN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa tindakan keluar parti kerana YB kecewa kerana kalah dalam pemilihan parti peringkat negeri. Adakah itu benar?

TONG HIM: Pemilihan berlaku pada penghujung 2015, sekarang sudah 2017 dan hampir dua tahun berlalu, tidak logik untuk saya terlalu lama me­nyim­pan dendam sehingga membuat keputusan keluar parti semalam. Saya ingin tegaskan di sini dan menafikan dakwaan tersebut bahawa pengumuman saya dan tiga lagi ADUN itu di­sebabkan rasa kecewa kekalahan dalam pemilihan parti, se­ba­liknya ia tidak melibatkan per­kara peribadi. Kami bertindak sedemikian sebaliknya kami keluar parti atas soal prinsip.

Guan Eng melahirkan rasa kecewa kerana mempercayai YB dan tiga ADUN terbabit akan kekal setia bersama parti.
Kami lebih kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti ketika ini. Bayangkan perasaan saya yang menjadi ahli DAP dan memimpin pengundi kami menerusi perjuangan parti tetapi suara kami di peringkat nege­ri tidak dide­ngari. Sebaliknya segala keputusan hanya ditentukan di peringkat pucuk pimpinan pusat termasuk kerjasama de­ngan pihak pembangkang lain.

Saya mengakui masih sa­yang­kan DAP kerana di situlah ber­mulanya perjuangan saya tetapi saya terpaksa membuat keputusan itu. Sekali lagi saya tegaskan bukan atas sebab peribadi saya keluar sebaliknya sebab perjuangan DAP sudah tidak sama seperti dahulu.

Apa reaksi tiga lagi ADUN DAP lain di Melaka apabila YB bersama tiga rakan membu­at keputusan keluar parti? Ba­gaimana pula reaksi pe­ngundi yang memilih YB selaku wakil rakyat?
Sejujurnya saya tidak rasa mereka akan terkejut dengan keputusan ini. Saya telah digantung keahlian parti selama setahun sejak 6 Februari tahun lalu dan bagi saya biarlah saya bertindak secara profesional. Saya akur dengan keputusan parti menggantung keahlian saya dan menunggu sehingga tempoh penggantungan itu tamat sebelum saya membuat keputusan ini.
Bagi saya DAP masih mempunyai calon-calon yang baik untuk diketengahkan sebagai pengganti kami. Biarlah pucuk pimpinan parti yang menentukannya tetapi bagi saya dan tiga ADUN lain sudah cukuplah perjuangan kami bersama parti ini dan keluarnya saya daripada DAP bukan bererti saya membenci parti sebaliknya seperti perumpamaan, orang bercerai tetapi hati masih cinta begitu juga dengan saya walaupun sudah keluar DAP tapi cinta saya tetap pada parti ini.

Selepas ini, bagaimana YB akan berkhidmat kepada pe­ngundi? Adakah mereka masih boleh bertemu YB di pejabat?

Saya masih menjadi wakil rakyat pengundi saya. Cuma status saya kini sebagai Ahli Parlimen Bebas. Saya akan te­rus berkhidmat di pejabat saya sendiri di Kota Laksamana dan para pengundi tidak perlu risau kerana saya akan terus membantu mereka walaupun tidak lagi sebagai wakil rakyat DAP.
Saya juga ingin menjelaskan di sini bahawa perjuangan saya adalah berlandaskan pada prinsip membantu rakyat dan mereka tidak perlu bimbang sama ada saya memegang tiket ADUN DAP atau bukan, hak pengundi tetap akan saya bela.

Adakah keputusan yang diambil akan menyebabkan DAP Melaka lemah kerana daripada tujuh wakil rakyat kini hanya tinggal tiga dan mungkin ada wakil rakyat lain yang akan mengikuti jejak langkah YB serta rakan-rakan?

Ada lagi yang akan ikut atau tidak itu saya tidak tahu tetapi bagi saya DAP masih kuat di ne­geri ini dan saya percaya parti ini masih mampu mengekalkan kekuatan mereka di negeri ini.


-Utusan-