Buah Pinggang Bayi Boleh Rosak! Kalau Sayang Anak, Mama Papa Jangan Benarkan Garam Dan Gula Dalam Dietnya





Apabila bayi mula makan makanan pejal, pasti terdetik perasaan kasihan melihat bayi makan makanan tawar. Jangan punya perasaan sebegitu. Anda tidak perlu menambah garam ke dalam makanan bayi yang disediakan. Hal ini kerana tidak ada keperluan untuk anda menambah garam ke dalam makanan bayi. Apatah lagi buah pinggang bayi belum matang untuk memproses sebarang garam tambahan.



Semenetara itu, perlu diambil tahu bahawa bayi dan kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak sepatutnya diberikan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti biskut dan snek. Sebaliknya, pemberian makanan rendah garam seperti buah-buahan, sayur sayuran dan susu amat digalakkan.



Setelah anak anda mula makan makanan yang sama dengan ahli keluarga yang lain kelak, anda tidak perlu menambah garam ke dalam makanannya. Saranan pengambilan garam adalah berdasarkan usia anak. Jumlah garam yang dibenarkan bagi kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun ialah 3.0gm (1.2gm natrium) sehari. Manakala kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun sebanyak 5.0gm (2gm natrium) sehari. Dan, bagi yang berusia 11 tahun ke atas, saranannya barulah sama seperti keperluan dewasa iaitu 6.0gm (2.4 natrium) sehari.



Sama halnya juga dengan gula. Bayi tidak memerlukan gula dalam dietnya. Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak anda menjadi pemarah apabila paras gula di dalam badan menurun selepas beberapa jam pengambilan gula tersebut. Lebih teruk lagi, dalam tempoh masa yang panjang, pengambilan gula berlebihan akan merosakkan gigi dan menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan.



Terdapat beberapa makanan manis yang bukan sahaja disukai oleh kanak-kanak, malah mengandungi nutrien yang bermanfaat untuk tumbesaran. Contohnya seperti buah-buahan dan biskut kosong. Walaupun buah-buahan mengandungi gula, ia juga padat dengan vitamin dan mineral yang bermanfaat.




Layari laman web