BMW Group catat jualan permulaan tahunan terbaik – 163,288 unit terjual dalam bulan Januari 2017

Baru-baru ini kami laporkan mengenai prestasi Mercedes-Benz yang cemerlang dengan peningkatan jualan bulanan untuk kali ke 47 berturut-turut.


Nampaknya syarikat itu tidak berkeseorangan di puncak kejayaan apabila sebuah lagi gergasi dari Jerman turut mencatat peningkatan jualan global.


Pada bulan Januari 2017, jualan BMW Group yang merangkumi jenama BMW, MINI dan Rolls-Royce ialah sebanyak 163,288 unit di seluruh dunia iaitu 6.8 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2016.


Rolls-Royce 2017.01


Pencapaian ini adalah susulan kejayaan jualan sebanyak enam tahun berturut-turut.


Menurut Dr Ian Robertson, ahli lembaga pengurusan BMW AG yang bertanggung jawab tentang Jualan dan Pemasaran BMW, “Kami memulakan tahun ini dengan baik berdasarkan kejayaan yang dicapai pada 2016, kami yakin model baharu yang akan dipasarkan pada tahun ini terutama sekali generasi baharu BMW 5 Series (G30) akan meneruskan momentum kejayaan sepanjang tahun. Kami akan terus mengfokuskan kepada keuntungan dan pertumbuhan yang mampan di seluruh dunia.”


Pada 2016, BMW Group telah menjual sebanyak 2.367 juta kereta dan 145,000 motosikal di seluruh dunia.


BMW carsharing 2017.03


Jualan BMW pada bulan Januari


Jualan kenderaan BMW pada bulan Januari meningkat sebanyak 7.2 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun 2016.


Hampir kesemua model merekodkan peningkatan jualan, sebagai contoh BMW X1 meningkat sebanyak 40.2 peratus (20,059 unit), BMW 3 Series sebanyak 6.3 peratus (28,684 unit) manakala model kemegahan (flagship) BMW 7 Series pula sebanyak 29.8 peratus atau 4,403 unit telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh dunia.


Jumlah jualan keseluruhan bulan Januari 2017 ialah sebanyak 143,553 unit.


Untuk rekod, Mercedes-Benz mencatat jualan sebanyak 178,467 kenderaan pada bulan Januari 2017.


Jualan BMW dijangka terus meningkat apabila BMW 5 Series baharu akan mula diserahkan kepada pelanggan bermula pertengahan Februari ini.


BMW i8


BMW i – Peningkatan 115.8 peratus


Model BMW i pada bulan Januari 2017 mencatat peningkatan jualan yang tinggi iaitu sebanyak 115.8 peratus berbanding bulan sama pada 2016.


Sebanyak 5,232 unit kenderaan BMW i dan BMW iPerformance diserahkan kepada pelanggan pada bulan Januari.


Jualan kenderaan kategori ini dijangka akan bertambah melalui pengenalan model baharu seperti BMW 530e iPerformance pada bulan Mac dan MINI Cooper S E Countryman ALL4 plug-in hybrid pada bulan Jun.


MINI Cabrio 2017 careta


MINI Cabrio – Peningkatan 690.1 peratus


Kenderaan MINI turut mencatat peningkatan iaitu sebanyak 19,563 unit telah terjual di seluruh dunia pada Januari 2017 iaitu 3.7 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama pada tahun lepas.


MINI Cabrio mencatatkan peningkatan paling mengagumkan iaitu sebanyak 690.1 peratus dengan jualan sebanyak 1,517 unit. MINI Clubman pula telah terjual sebanyak 3,693 unit dengan peningkatan 60.5 peratus.


Model baharu MINI Countryman yang kini dalam fasa pengilangan dijangka akan meningkatkan lagi jualan keseluruhan MINI pada tahun 2017.


Jualan mengikut pasaran


Eropah


Jualan BMW dan MINI di Eropah pada bulan Januari 2017 adalah sebanyak 63,915 unit dengan peningkatan sebanyak 3.5 peratus.


Hampir kesemua pasaran mencatatkan pertumbuhan, di Jerman misalnya jualan BMW Group adalah sebanyak 20,034 meningkat 17.2 peratus manakala di United Kingdom (UK) yang merupakan pasaran kedua terbesar Eropah pula ialah sebanyak 9,921 unit dengan peningkatan sebanyak 4.9 peratus.


Di Perancis, jumlah jualan ialah sebanyak 5,556 dengan peningkatan sebanyak 5.4 peratus.


Asia


Jualan BMW dan MINI di benua Asia lebih tinggi berbanding Eropah iaitu sebanyak 66,719 unit kenderaan dihantar kepada pelanggan dengan peningkatan sebanyak 12.1 peratus.


Sejumlah besar jualan adalah dari China yang merupakan pasaran terbesar di Asia. Jualan di negara itu sahaja ialah sebanyak 51,345 unit, meningkat sebanyak 18.2 peratus.


Angka itu adalah yang pertama seumpamanya yang berjaya dicapai dalam tempoh sebulan.


Amerika Utara


Peningkatan jualan BMW dan MINI di Amerika Utara pula paling perlahan iaitu sebanyak 1.0 peratus sahaja berbanding bulan Januari 2016.


Di Amerika Syarikat (AS), sebanyak 21,219 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan, berkurangan 0.5 peratus manakala di Kanada pula meningkat sebanyak 2.5 peratus  dengan jualan sebanyak 2,337.


BMW GS1200 2017.04


BMW Motorrad


Sebanyak 7,503 unit motosikal dan skuter-maxi BMW terjual di seluruh dunia pada bulan Januari 2017.


Peningkatan jualan yang dicapai pada bulan pertama tahun ini adalah rendah iaitu sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan Januari 2016.


Walau bagaimanapun, jualan keseluruhan tahun 2016 tetap meningkat berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak 5.9 peratus.


Jumlah jualan BMW Motorrad pada 2016 ialah sebanyak 145,032 unit berbanding 139,963 unit pada 2015.


Berikut ialah ringkasan jualan BMW Group untuk bulan Januari 2017


Peningkatan jualan di hampir kesemua pasaran dunia


Jualan keseluruhan BMW Group ialah sebanyak 163,288 dengan peningkatan sebanyak 6.8 peratus.


Jualan keseluruhan BMW ialah sebanyak 143,553 unit dengan peningkatan sebanyak 7.2 peratus.


Jualan keseluruhan MINI ialah sebanyak 19,563 unit dengan peningkatan sebanyak 3.7 peratus


Jualan keseluruhan BMW Motorrad ialah sebanyak 7,503 unit dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus


Model elektrik BMW mencatat peningkatan sebanyak 115.8 peratus


Di AS, jualan berkurangan sebanyak 0.5 peratus dengan 21,219 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan.


Ditulis oleh Muhammad Md Tajuddin