BIFF hargai Nana

Sejak mula berlakon pada era 80-an, Nana Patekar, 66, sudah memenangi pelbagai anugerah yang mengiktiraf kehebatannya di Bollywood dan Tollywood.

Antara pengiktirafan yang diterimanya adalah Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Filem Kebangsaan dan Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Filmfare menerusi filem Parinda (1989).

Terkini, Nana akan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman pada Festival Filem Bodhisattva (BIFF) yang akan berlangsung di Patna, India berikutan sumbangannya terhadap industri perfileman negara itu.

Menurut Penganjur dan Presiden BIFF, Sneha Routray, Nana ialah figura paling layak menerima pengiktirafan itu kerana bukan sahaja berjasa sebagai anak seni tetapi juga sumbangannya dalam kerja kebajikan.

Sama ada beraksi dalam karya komersial atau ‘seni’, lakonan Nana tidak pernah mengecewakan.

Pada pelancaran filem terbarunya baru-baru ini, Nana menjelaskan, dia boleh menyesuaikan diri dengan apa sahaja jenis karya.

“Saya bermula di pentas teater dan dilatih mencuba apa sahaja karya. Oleh sebab itu, saya tidak ada masalah jika ditawarkan menjayakan filem komersial mahupun ‘seni’,” katanya.

Filem terbarunya, Wedding Anniversary dan Welcome To The Jungle akan ditayangkan tidak lama lagi.