Biar pelapis 'original'

Sedar tak sedar, tahun ini genap tiga dekad Ella bergelar anak seni. Sepanjang tempoh itu, pelbagai kejayaan dikecapi figura yang diberi jolokan Ratu Rock ini.

Menariknya, sehingga hari ini belum ada pelapis yang mampu menandingi kehebatan Ella sebagai penyanyi rock wanita tanah air.


“Alhamdulillah, dalam tempoh 30 tahun ini banyak perkara dan pengalaman saya raih. Saya percaya akan ada pelapis. Ramai yang berbakat tetapi mungkin belum digilap sepenuhnya,” kata Ella.

Menurut Ella, sebagai penggiat seni menjadi harapannya untuk melihat generasi baru menggantikan tempatnya.

“Semestinya saya teringin melihat anak muda tampil sebagai pelapis.

“Kalau boleh, biarlah pelapis itu ‘original’ dan ada identiti sendiri. Saya tak mahu dia terlalu meniru saya atau mana-mana artis sedia ada,” katanya.

Ella juga tidak lolek berkongsi tip bertahan lama dalam industri seni iaitu menjadi diri sendiri dan menghasilkan karya yang boleh diterima semua golongan.

“Namun jangan sampai syok sendiri. Sebagai penyanyi dan penghibur, kita berkarya untuk pendengar dan peminat. Jadi, pastikan ia boleh diterima semua orang,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Ella berkata, dia mahu menyeimbangkan kerjaya seni dan perniagaan.

“Tak mungkin saya bersara kerana bidang ini sudah sebati dengan diri. Suami pun tak menghalang saya terus berkarya.

“Memandangkan saya menceburi dunia peniagaan, kenalah bijak bahagikan masa agar ia bergerak seiring dengan karier seni,” katanya.

Menyentuh soal bisnes, Ella kini mencari pereka untuk rekaan selendang di bawah jenama Inai by Ella.

Pencarian yang dikenali sebagai Ella Rasa Ella. Nak Cari Designer Shawl itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

“Saya masih lagi mencari gaya yang sesuai untuk saya. Berbanding tudung lain, saya lebih selesa mengenakan selendang. Jadi, menerusi peraduan ini, saya memberi peluang kepada peminat untuk mencurahkan idea mereka,” kata Ella.

Ella mengetengahkan tema ‘From The Fans To The Fans’ kerana mahu rekaan yang dihasilkan itu bukan sahaja sesuai untuknya tetapi juga peminat.

Peraduan Ella Rasa Ella. Nak Cari Designer Shawl bermula sejak 13 Februari lalu dan akan berakhir 26 Februari ini. Nama pemenang akan diumumkan di majlis pelancaran koleksi baru selendang Ella pada 29 Mac nanti.

Peraduan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu rekaan Aidilfitri, Kasual dan Rock & Roll itu menawarkan hadiah wang tunai RM5,000.