Biar DRB-Hicom tentukan sendiri

DRB-Hicom semalam berkata bahawa pengumuman mengenai rakan strategik Proton akan ditentukan bila-bila masa dalam separuh masa pertama tahun ini.


Sebelum ini, laporan akhbar-akhbar tempatan berkata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan keputusan pemilihan rakan strategik Proton akan hanya diketahui selepas 15 Februari.


Johari menerangkan bahawa 15 Februari ialah tarikh akhir untuk setiap syarikat asing yang berminat untuk menjadi rakan strategik Proton menyerahkan cadangan mereka.


Terdahulu, Menteri Kedua MITI, Datuk Seri Ong Ka Chuan menerangkan operasi Proton akan berpindah ke Tanjung Malim dan kerajaan akan terus memberi pandangan terhadap perkembangan Proton.


Beberapa hari sebelum keterangan Ong Ka Chuan pula, DRB-Hicom menerangkan tiga kriteria yang perlu ada pada rakan strategik Proton – strategik, kebolehan beroperasi bersama dan keserasian budaya.


Apa yang memulakan semua ini ialah laporan akhbar The Star yang mengatakan Geely mempunyai peluang cerah untuk menjadi rakan strategik Proton.


Berita itu kemudian disahut dengan artikel pendek yang tersebar di media sosial yang mempersoalkan kenapa Proton akan dijual kepada syarikat China.


Pada pandangan Careta, kita boleh duduk dan lihat sendiri bagaimana Proton dilayan seperti bahan politik oleh ahli politik negara dan rakyat sendiri. Untuk sesebuah syarikat bergerak maju, ia patut diuruskan secara profesional dan segala keputusan dilakukan berdasarkan perniagaan. Namun apabila syarikat itu terpaksa akur dengan “permintaan” ahli politik dan pemikiran rakyat, sukar untuk mereka bergerak ke hadapan.


Lihat sahaja Perodua – sudah 10 tahun memegang takhta penjualan kenderaan negara dan jarang sekali ada “berita sensasi” keluar mengenai syarikat itu.


DRB-Hicom mempunyai pegangan saham yang besar di dalam Honda Malaysia, Mitsubishi Malaysia, Isuzu dan beberapa lagi syarikat kenderaan di dalam negara – membuktikan ia lebih berpengalaman di dalam industri automotif berbanding dengan menteri-menteri dan ahli politik di kedai kopi.


Kali ini, Careta harap kita semua sama-sama memberi peluang kepada DRB-Hicom untuk membuat keputusan terbijak bagi syarikat Proton.