Berjaya kumpul RM5,000

Konsert amal khas mengumpul dana bagi membantu penyanyi popular era 1970-an Datuk Dahlan Zainudin yang diadakan di Hard Rock Cafe sini, hari ini, berjaya mengumpul sumbangan RM5,000

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez yang juga wakil pihak penganjur berkata, jumlah itu sebahagian daripada jualan tiket konsert yang perancangannya dibuat sejak dua bulan lalu.


“Ia memang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu Dahlan yang terkena angin ahmar (stroke).

"Pada masa sama ia juga usaha Karyawan membantu artis veteran yang memerlukan. Diharapkan sumbangan itu dapat meringankan beban Dahlan," katanya.

Konsert itu juga membabitkan penyanyi lain iaitu Jay Jay, Fredo Flybaits dan Jatt Black Dog Bone.

Sebagai penutup Dahlan turut menyumbangkan tiga lagu iaitu Kisah Seorang Biduan, Safe The Last Dancer For Me dan Lagu Untuk Mu.

Pada acara itu peminat yang hadir turut membuat sumbangan peribadi.

Menurut Freddie, sebelum ini pihaknya sudah memberikan sumbangan dan sekiranya Dahlan masih memerlukan bantuan selepas ini, Karyawan akan membantu lagi dengan cara lain.

“Penganjuran konsert ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat kepada Dahlan. Kebanyakan yang datang dan membeli tiket adalah mereka yang membesar dengan lagu Dahlan," katanya.