Benarkah Anak Tengah Sering Rasa Kekurangan Dan Bagaimana Cara Terbaik Untuk Atasinya?





Anak tengah adalah anak kedua atau ketiga dan seterusnya yang dilahirkan dalam keluarga lebih daripada dua adik beradik. Ada kala, anak tengah merasa kekurangan dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan perhatian lebih mama dan papa.



Susunan kelahiran anak-anak memang memberikan perbezaan untuk psikologi ibu bapa, tetapi tidak bagi si manja. Berikut antara sindrom anak tengah yang perlu anda tahu dan cara atasinya.



1.Kurang rasa memiliki



Anak tengah mungkin tidak ada rasa “memiliki” (sense of belonging) kepada keluarga seperti anak-anak lain. Dia rasa dia perlu berjuang dan melakukan lebih untuk dekat dengan keluarga kerana berasa diabaikan dan 'tidak diingini'. Kadang-kadang, anak tengah juga merasakan diapit di antara adik-beradik yang lain. Dia rasa tiada ruang untuk dirinya di dalam keluarganya!



Cara atasi: Mama dan papa perlu memberikan perhatian dan usah membiarkan perasaan itu  membelenggu minda mereka. Selalulah mengucapkan penghargaan dan memuji mereka agar mereka tidak terpinggir.



 2.Rendah diri



Anak pertengahan selalu merasakan bahawa dirinya tidak diingini dan mungkin mempunyai harga diri yang sangat rendah. Malah lebih buruk lagi, si kecil membina rasa “tidak diperlukan” dalam dirinya hingga boleh menjejaskan emosinya sehingga dewasa. Hal ini mempunyai kesan yang serius kepada pembangunan keseluruhannya. Dia akan mengalami perasaan rendah diri dalam proses pembesarannya. Keyakinan dirinya juga mungkin tipis kerana perasaan yang terlepas pandang oleh mama dan papanya



Cara atasi: Jangan sekali-kali membandingkan mereka dengan adik-beradik lain dan cari jalan untuk mengawal tindak balas anak kepadanya supaya anda berasa seiring dengan mereka berada dan di landasan yang sama dalam kebanyakan hal.



 3.Suka menyendiri



Kanak-kanak yang mengalami sindrom anak tengah selalunya mempunyai personaliti introvert atau tidak suka bersosial. Mereka lebih cenderung menyendiri dalam apa-apa aktiviti. Mereka merasa seperti orang luar dalam keluarga. Oleh sebab itu mereka suka melakukan semua perkara sendiri seperti memakai pakaian sendiri, makan sendiri atau bermain sendirian.  Suka menghabiskan masa dengan bersendirian kerana berasakan tiada orang mengendahkan dirinya. Dia cuba untuk mencipta dunianya sendiri dan bersandar pada diri sendiri untuk sokongan tanpa pertolongan orang lain khususnya ibu bapa.



Cara atasi: Adakan waktu khas untuk mama atau papa dengan dia si anak tengah. Luangkan masa untuk bermain bersama-samanya. Main peranan masak-masak atau sekadar membaca bersama-sama. Mama juga boleh mengajaknya keluar berdua sahaja tanpa membawa adik-beradik lain.



4.Kecelaruan



Kanak-kanak yang menghidap sindrom anak tengah juga tidak jelas arah tuju. Terdapat banyak kekecewaan di dalam diri mereka dan mereka berjuang untuk mencari arah yang sebenar kehidupan mereka. Mereka tidak selesa untuk berhubungan rapat dan bermesra dengan ibu bapa dan adik-beradik mereka. Ada juga keadaan anak tengah lebih rapat dengan kakak atau abang berbanding ibu dan ayahnya sendiri! Kebanyakan mereka yang mengalami sindrom ini mempunyai risiko kecelaruan untuk menentukan minat, menyalurkan bakat serta tiada arah tuju.



Cara atasi: Mereka mahukan perhatian anda dan kata-kata perangsang daripada anda. Pandulah potensi dan bakat dirinya kepada bidang yang bersesuaian agar dia boleh melihat jelas masa depannya.



5.Kurang kepercayaan



Selalunya anak kecil akan percaya apa yang dikatakan oleh ibu dan ayahnya dan benar-benar bergantung kepada kedua-duanya. Tetapi tidak bagi si manja yang mengalami sindrom anak pertengahan ini. Mereka yang sudah menanamkan perasaan diabaikan dan tidak disayangi dalam dirinya berasa sukar untuk mempercayai dan mendengar kata-kata orang lain.  Ada kalanya mereka ini cenderung untuk keras kepala dan enggan mendengar pendapat orang lain.



Cara atasi: Sementelah dirinya dirasakan terabai, kata-katanya juga enggan didengari. Tidak adil bagi si kecil ini. Justeru, biarkan si kecil meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Biar dia merasakan dirinya ‘didengari’. Mintalah pendapatnya dalam apa-apa hal secara spontan. “Apa pendapat kakak kalau ibu pakai baju ini dengan seluar ini?” atau “Abang rasa kita perlu atau tidak bersihkan sangkar kucing kita, Atello. Dah kotor ke? Cuba Abang tengok?”.

 




Layari laman web