Baling - ‘Ke mana peruntukan untuk kami di DUN BAYU’

'Ke mana peruntukan kami'

BALING - Penduduk Kampung Rambong Pulai, Dun Bayu mendakwa peruntukan yang sepatutnya digunakan bagi menurap jalan di kampung mereka 'dilarikan' ke kawasan lain.

Penduduk, Zakaria Yaacob, 56, berkata, peruntukan diluluskan bagi kampung itu didakwa digunakan menurap jalan di kampung lain.

"Saya dimaklumkan dana itu sudah diluluskan bagi menurap jalan beberapa tahun lalu, tetapi ada pihak memindahkan ke kawasan lain.

"Kami sekali lagi memohon kepada pihak berwajib pada 2015, namun tidak diendahkan dan tiada tindakan hingga kini," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jalan bagi beberapa lorong itu didakwa tidak pernah diturap tar lebih 10 tahun lalu dengan dianggarkan sepanjang 400 meter.

"Masalah kampung ini hanya diberi perhatian kerajaan di bawah Pakatan Harapan pada 2008 dengan menyalurkan batu kisaran

"Kereta tidak boleh melalui jalan ini ketika musim hujan disebabkan keadaannya yang lecah dan berselut," katanya.

Penduduk, Mohd Saufi Ramli, 50, berkata, pihak bertanggungjawab diminta tidak mendiskriminasikan kebajikan kepada rakyat.

"Jangan bila pengundi parti biru dibantu tetapi parti warna lain dibiarkan.

"Ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat sebelum ini, setiap kampung dibantu sama rata oleh pemimpin," katanya.

Mohd Basir Osman, 52, berkata, pihak berkenaan diminta segera mengambil tindakan sebelum sesuatu tidak diingini menimpa penduduk.

"Jangan tunggu ada kemalangan baru nak turap jalan ini, saya harap pihak berkenaan menyelesaikan segera masalah kami," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Pas Kawasan Baling, Abd Nasir Idris meninjau jalan berkenaan bersama penduduk.

Nasir berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan prasarana kepada rakyat dan merupakan satu kesalahan apabila amanah berkenaan tidak dilaksanakan.

"Jika kerajaan abaikan tanggungjawab bermakna mereka bertindak zalim kepada rakyat kerana golongan ini juga membayar cukai.

"Adakah penduduk di sini perlu isi borang Umno baru tuntutan mereka dilayan? Jika begitu saya arahkan penduduk di sini mengisi borang keahlian Umno demi kebaikan mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Mukim Dun Bayu, Jhangir Khan Khatem Khan berkata, pihaknya memandang serius aduan itu dan akan menjalankan siasatan segera.

"Kita pandang serius aduan memindahkan peruntukan disalurkan ke kawasan lain.

"Keselesaan rakyat adalah keutamaan Pejabat Dun Bayu, " katanya.