Bagi Azmin, Perjuangan Nombor Dua, Jawatan Dan 'Periuk Nasi' Paling Utama

  • Print
  • Email
Details

Published on Thursday, 16 February 2017 12:31

KUALA LUMPUR: Sikap berdiam diri Datuk Seri Azmin Ali berhubung kerjasama antara Pakatan Harapan dan PAS didakwa berpunca daripada Naib Presiden PKR itu mahu menjaga kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus berkata, Azmin akan terus mempergunakan PAS untuk menjaga kedudukannya sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

“Bagi pembangkang khususnya Azmin, prinsip perjuangan tidak penting tetapi periuk nasi dan kedudukan mereka menjadi pertimbangan utama," katanya dipetik portal berita.

Untuk rekod, selepas PRU13 PAS memenangi 15 kerusi DUN, sama banyak dengan DAP sementara PKR hanya menakluki 13 kerusi daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi, lantas membentuk kerajaan ekoran jumlah majoriti 43 kerusi dimiliki pakatan berkenaan.

Namun selepas PAS berpecah, tiga ADUNnya menyertai Parti Amanah Negara (PAN) menjadikan kerusi PAS berkurang kepada 12, namun, kerajaan Selangor masih memerlukan parti berkenaan untuk mengekalkan jumlah majoriti bagi mengekalkan status pemerintah Selangor.

Ekoran itu kata Abdul Shukor, Azmin akan terus bermain wayang putar belit bagi memastikan PAS bersama kerajaan Selangor sekarang sungguhpun Pakatan Rakyat yang dibentuk pada PRU13 menggabungkan PAS, PKR dan DAP telah terkubur.

Jelasnya, Azmin tidak berani mengambil risiko untuk menendang PAS daripada kerajaan negeri sunggguhpun rakannya dalam gabungan Pakatan Harapan - DAP dan PAN - sudah berpatah arang.

Tambahnya, bukan sahaja akan menyebabkan kerajaan negeri pimpinannya goyah malah kedudukan beliau selaku menteri besar pun mungkin melayang gara-gara musuh politik dalaman parti berkenaan yang hanya menunggu peluang menyingkirkan beliau.

“Dengan kedudukan kerusi DUN hari ini ditambah dengan musuh-musuh politik dalaman, kita yakin dan percaya Azmin akan terus bermain politik putar untuk selamatkan kedudukannya.

“Ini secara tidak langsung menggambarkan wajah politik pembangkang yang tidak mempunyai prinsip tetapi lebih mengutamakan agenda masing-masing.  

"Mereka bertelagah… masing-masing tunjuk lagak kononnya kuat tetapi di peringkat kerajaan Selangor, Pas, PKR dan PAN serta DAP masih duduk bersama di dalam kerajaan negeri.  Inilah politik putar alam,“ katanya lagi.

PAS sementara itu masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan PAN disamping menegaskan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak memaksa mereka bertindak sedemikian.

“Saya rasa sudah cukup kami mempunyai sejarah politik dengan DAP dalam barisan alternatif dan pakatan rakyat dahulu dan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bersama Pas, mereka tidak boleh minta kita duduk sekali dengan DAP dan PAN,” tegas Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Tambahnya, PAS optimis jalinan kerjasama bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) membentuk blok ketiga mampu beri saingan kepada parti-parti politik lain.

"PAS telah melawan UMNO sejak Dr. Mahathir dalam UMNO lagi. 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, kita lawan.

"Beliau baru keluar beberapa hari daripada UMNO, sudah mendakwa PAS bersekongkol dengan UMNO. Jadi, pepatah Melayu mudah lupa ini sebenarnya berbalik semula kepada beliau,” tegasnya lagi.

- Malaysian Digest