ASEAN, China Kini Dalam Jangkauan Proton

  • Print
  • Email
Details

Published on Monday, 19 June 2017 15:53

KUALA LUMPUR: Negara ASEAN dan China kini dalam jangkauan bagi Proton untuk memasarkan keretanya susulan perjanjian perkongsian strategik baru-baru ini dengan Geely Holding Group Co Ltd, China kata ahli geostrategi, Dr Azmi Hassan.

"Satu perkara yang jelas sejak dari awal lagi, Geely menyasarkan pasaran global kerana ia adalah model perniagaannya selama ini. Di peringkat awal lagi, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik sebagai gerbang masuk ke pasaran ASEAN," katanya.

Di Geely, yang antara lain memiliki Volvo sepenuhnya, pembuat kereta nasional Malaysia ternyata mendapat rakan kongsi yang lebih baik, katanya.

Beliau bersetuju terhadap pandangan bahawa ikatan perkongsian dengan Geely dalam mengharungi pasaran kereta dunia yang sangat kompetitif adalah peluang terbaik untuk Proton Holdings Bhd dalam sejarahnya.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Faisal Albar, baru-baru ini berkata Geely terbukti adalah rakan kongsi yang komited dalam segala usaha, membantu setiap syarikat yang diperoleh kepentingan supaya pulih menggunakan tahap pelaburan yang bersesuaian serta suntikan besar dalam teknologi dan inovasi.

Dr Azmi berkata dalam perniagaan pembuatan kereta, tidak masuk akal untuk penggiat bergerak bersendirian, terutama sekali bagi Proton, yang telah lama berjuang untuk hidup dengan menjual kereta terutama untuk pasaran domestik.

"Untuk membiarkan Proton terus menjual dalam pasaran tempatan sahaja, akan menjurus kepada kehancurannya.

Proton mesti mampu untuk menguasai pasaran ASEAN terutama ketika halangan tarif sudah dimansuhkan dalam kawasan berkenaan. Saya nampak Geely menyasarkan Malaysia melalui Proton untuk bertapak di ASEAN," katanya


- Bernama