Asal buat kena kecam!

Setiap manusia popular tidak pernah terlepas daripada menerima komen serta kecaman apabila tampil dengan sesuatu produk baru khususnya yang dianggap tidak mencerminkan diri mereka.

Ada yang mengatakan itulah harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti.


Namun sebagai selebriti, mereka harus bijak berdepan dengan situasi sebegini.

Ada kecaman yang terus membenamkan artis itu dan tidak ketinggalan, komen yang bersifat positif apabila memberi publisiti percuma kepada mereka.

Minggu ini Cuit Sikit menemu bual empat selebriti ternama mengenai kecaman membuat bisnes.

Fattah Amin

“Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Apabila mereka memperkatakan mengenai diri saya, saya anggap mereka mengambil berat terhadap saya.

“Seperti yang saya katakan dalam buku yang diterbitkan baru-baru ini (99 Kata Kata #QalifModen Fattah Amin), ia adalah proses pembelajaran. Kita perlu berusaha menjadi lebih baik. ‘A bad publicity is still a publicity’.

“Terus terang kecaman orang menyuntik semangat lagi untuk saya pergi lebih jauh. Ia ibarat memberi satu bentuk motivasi.

“Bagi saya, biarlah apa mereka nak kata kerana saya berada dalam bidang ini untuk mencari rezeki. Lagipun kecaman dan artis memang saling berkait rapat.”

Zara Zya

“Saya lihat kebanyakan rakyat Malaysia kini semakin berminat untuk menjalankan bisnes sendiri sebagai jalan mudah mendapatkan duit sampingan.

“Tidak dinafikan, dengan kehadiran ramai ‘keyboard warriors’ di laman sosial, kini golongan selebriti antara individu yang sering menerima kecaman apabila setiap perkara dilakukan pasti mendapat komen, bantahan atau pertikaian.

“Namun jika artis luar negara datang ke Malaysia, golongan ‘keyboard warriors’ inilah yang mengagungkan kehadiran mereka, malah ada yang menganggap artis Malaysia tiada kelas.

“Biarpun menerima kecaman teruk daripada netizen atau ‘keyboard warriors’ mengenai sesuatu produk yang diketengahkan, saya menganggap perkara itu sebagai publisiti percuma kerana secara tidak langsung ia menambah viral kepada produk itu juga.

“Pengalaman paling jelas adalah diri saya sendiri apabila tudung jenama saya dipertikaikan sesetengah pihak kerana imej saya yang tidak berhijab.

“Namun begitu, saya bersyukur pertikaian itu membuatkan tudung saya semakin menerima permintaan tinggi sehingga ke hari ini.

“Konklusinya, sebagai artis kita harus kuat untuk berdepan dengan segala kecaman dan buktikan kepada mereka bahawa perniagaan yang dijalankan bukan sekadar suka-suka kerana melihat kejayaan artis yang berniaga. Saya juga akan perkenalkan satu produk losen langsing tidak lama lagi.”

Hafiz Hamidun

“Jika buku Fattah Amin menerima kecaman teruk daripada netizen, saya juga tidak terlepas melalui situasi itu apabila ada yang mengatakan buku saya penuh dengan gambar selfie walaupun sebenarnya hanya lima helai selfie saja daripada 200 helai dalam buku berkenaan!

“Padahal saya tahu apa yang saya lakukan dan sudah melakukan perancangan rapi namun masih ada yang tidak berpuas hati. Ikhlas saya katakan saya tidak ambil pusing atau melenting kerana saya tahu apa yang saya buat. Bagi saya, jangan biarkan kecaman yang diterima melemahkan semangat tetapi sentiasalah berfikiran positif.

“Lagipun semenjak laman sosial menjadi tumpuan masyarakat hari ini, golongan artis tidak boleh lari daripada kecaman. Kadang-kadang artis yang dikecam bukan daripada peminat artis itu sendiri kerana kita tahu peminat kita akan selalu menyokong perjalanan seni mereka. Bagi saya, lebih ramai pengikut maka ramailah yang akan benci melihat kejayaan seseorang itu.

“Selalunya mereka kecam hanya sekadar suka-suka kerana tidak kenal rapat dengan selebriti itu dan tidak tahu sasaran sesuatu produk itu dikeluarkan.”

Datuk Aznil Nawawi

“Pastinya reaksi peminat adalah perkara pertama yang harus difikirkan oleh artis itu. Apabila seseorang artis itu mengeluarkan sesuatu produk yang tidak mencerminkan diri atau kariernya, tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi termasuk yang negatif.

“Sebagai contoh seorang penyanyi mengeluarkan buku himpunan lirik puitis mungkin boleh diterima tetapi penyanyi mengeluarkan buku ekonomi mungkin akan dipersoalkan.

“Zaman untuk artis memasuki cabang yang bukan kemahirannya juga sangat kritikal sekarang kerana netizen cukup cepat bertindak kerana terperanjat dengan sesuatu di luar jangkaan mereka.

“Namun harus diingat, setiap sesuatu itu seharusnya mesti ada yang berani memulakan. Jika strategi artis itu betul dan bukan setakat diperguna atas dasar populariti, khalayak akan perlahan-lahan percaya padanya.

“Sebagai selebriti mereka juga harus bijak mengambil peluang ketika nama berada di puncak. Secara peribadi tak ramai artis boleh jadi popular. Jadi apabila gelaran popular berada di tangan, takkan hanya mahu berdiam diri saja? Sedangkan ramai artis sanggup lakukan apa sahaja untuk popular!

“Malah ada usahawan pelbagai produk sanggup terkinja-kinja asalkan diri mereka popular dan viral. Tujuan utamanya agar diri mereka popular, sekali gus mempopularkan produk mereka. Itu adalah hak dan strategi masing-masing.

“Artis yang popular seharusnya mengambil inisiatif dalam perniagaan untuk tambah pendapatan. Bagi saya ini artis yang bijak. Artis yang tak bijak adalah artis yang membiarkan populariti itu berlalu begitu sahaja tanpa mendapat apa-apa manfaat atau lebih teruk artis yang membiarkan popularitinya digunakan pihak lain tanpa apa-apa pulangan kepada dirinya sendiri.

“Dalam apa sahaja keadaan, kecaman atau ejekan akhirnya mampu bertukar menjadi kegilaan.

Contohnya, berapa ramai umum mengecam atau mengejek Datuk Seri Vida atau Datuk Aliff Syukri pada mula-mula dahulu? Sekarang berapa ramai pula orang yang mengidolakan mereka?

“Terus terang, saya sendiri tidak terlepas menerima kecaman. Saya pernah melahirkan album penuh pada tahun 1994 ketika jualan album Raihan dan Ramlah Ram mencecah hingga 800,000 unit.

“Ketika itu saya ditawarkan menjadi penyanyi oleh syarikat rakaman atas dasar nama saya yang popular sedangkan bidang ini bukan makanan saya. Namun jika saya tak boleh menyanyi langsung, pastinya saya sendiri tidak akan menerimanya.

“Jadi ada juga suara yang kecam tapi suara mereka memberi semangat untuk saya jadi lebih kuat. Akhirnya, saya menentukan bahawa bidang pengacaraan adalah bidang saya, bukan nyanyian.

“Kegagalan seseorang itu bukan satu kerugian tetapi pelajaran,” katanya."