#1
DSAI Anwar Ibrahim, masihkah kau ingat?

oleh: Ustaz  Nik Nasri

APABILA diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sudah diberi pengampunan dan dibebaskan dari penjara, saya kata: 'Baguslah'.

Saya ahli PAS dan pendukung PAS, bukan PKR atau PH, tetapi saya tidak setuju dengan apa sahaja bentuk kezaliman, terhadap sesiapa sahaja.

Oleh kerana Islam yang mengajar begini, maka pemimpin, pendukung, ahli PAS lah yang paling konsisten mempertahankan saudara (bahasa yang biasa diguna untuk DSAI) daripada fitnah liwat dahulu.

Di saat kemuncak fitnah dan tuduhan ketika itu, Almarhum Datuk Harun Din pernah meletakkan tangannya di dada saudara, memastikan saudara memang bercakap benar tidak terlibat dengan liwat itu.

Presiden PAS sekarang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga berceramah ke sana sini mempertahankan saudara dari tuduhan itu. Bahkan menulis buku khusus tentang qazaf (hukuman terhadap tuduhan zina atau liwat) bagi mempertahankan saudara dari tuduhan jahat itu.

Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz juga demikian. Seluruh ahli PAS juga bersungguh mempertahankan saudara.

Oleh kerana BN yang berkuasa, maka kuasa itu digunakan untuk memenjarakan saudara, selepas tilam diangkat, sumpah palsu dibuat, maruah saudara diaibkan setiap hari di tv dan akhbar. Mujur masa itu tiada aplikasi FB dan WhatsApp.

Merengkoklah saudara dalam penjara buat beberapa lama. Masa berlalu. Allah menakdirkan saudara bebas di ambang Ramadan 1439H untuk menikmati erti sebuah kebebasan, berpuasa bersama keluarga, terutamanya selepas difitnah, ditumbuk hingga lebam, dijaja seluruh dunia bahawa DSAI terlibat dengan liwat.

Yang memfitnah saudara minta maaf. Saudara juga memaafkan. Baguslah. Itu hak saudara.


Saudara memberikan ucapan sulung malam tadi. Di antaranya saudara sebut bahawa Kelantan, Terengganu juga akan dikalahkan next round, kalau tidak tak seronok, no fun.

Astaghfirullah. Baharu sahaja keluar penjara, saudara mahu jatuhkan Kelantan dan Terengganu nextround? Saya harap kenyataan ini hanya spontan, bukan dari hasil renungan dan keinsafan saudara yang sudah menempuh apa itu kesan kezaliman.

Kelantan diperintah oleh PAS, semua Melayu Islam. Islam pula dijunjung. Tiada rekod siasatan rasuah, salah guna kuasa. PAS yang pertahankan saudara. Negeri yang PAS perintah pula yang saudara mahu jatuhkan next round?

Terengganu sekarang bukannya BN yang perintah. Kalau BN perintah, ada logik saudara mahu jatuhkan next round. Terengganu sekarang diperintah oleh PAS, yang difitnah oleh PH mahu berUG dengan BN.

PAS tegakkan Islam. Undang-undang tubuh negeri Terengganu meletakkan Quran, Hadis, Ijmak, Qias paling tinggi. Pimpinan PAS Terengganu juga yang pertahankan saudara daripada fitnah liwat lama dahulu.

Saya harap saudara batalkan niat mahu jatuhkan Kelantan, Terengganu next round. Dan pilihan raya juga bukannya fun atau seronok, tetapi politik pilihan raya ialah mahu memastikan negeri diperintah secara adil menurut kehendak Rabbul-Jalil. Insya Allah, Kelantan dan Terengganu akan diperintah secara adil oleh PAS.




Saya juga berharap saudara akan menasihati Kerajaan Pusat agar berlaku adil terhadap Kelantan dan Terengganu, jangan dizalimi, sebagaimana saudara sudah merasai peritnya sebuah kezaliman, hasil daripada sebuah fitnah.

Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman.

Norlida Ishak Shop
Comments