Anis Al-Idrus Temui Pengganti

Pelakon dan penyanyi Anis Al Idrus mengakui sedang dalam proses mengenali hati budi seorang lelaki yang baharu dikenalinya.

Menurut gadis berusia 29 tahun berkenaan, lelaki bernama Aiman Rafzan, 35, itu dikenalkan oleh seorang rakan yang juga merupakan adik kepada jejaka tersebut.

"Kami baru kenal dan masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing lagi. Adik dia merupakan kawan saya dan yang bertanggungjawab memperkenalkan kami.

"Dia bukan pelakon atau bekerja dalam industri, dia orang biasa yang bekerja sendiri," ujarnya.

Anis mengulas tentang foto-foto bersama seorang lelaki yang dimuat naik di laman Instagram pada Selasa lalu dalam sebuah majlis sambutan hari jadi jejaka berkenaan.

Ditanya tentang status hubungan itu, Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus berkata, Aiman adalah lelaki paling rapat dengan hidupnya buat masa ini.

"Setakat ini cukuplah saya katakan dia lelaki paling rapat dengan saya sekarang," ujarnya.

Sementara itu, Anis mengakui terpikat dengan lelaki berkenaan sikapnya yang matang, selain memahami kerjayanya sebagai anak seni dengan jadual yang agak padat.

Sebelum ini, Penyanyi lagu Mengapa pernah bercinta dengan pelakon Raja Afiq, namun hubungan cinta terputus selepas lima bulan.

Dalam perkembangan lain, Anis berkata, dia bakal keluar dengan program terbaharu berjudul Aura Bintang di Salam HD HyppTV bulan Mac depan.

Selain itu, dia juga bakal membintangi sebuah drama bersiri Maryam Ellyna yang akan disiarkan di RTM1.