Angkat Tangan, Lagu Dangdut Terakhir Sheeda Sebelum Berhijab

Penyanyi dangdut, Sheeda bakal tampil dengan single terbarunya, Angkat Tangan dan menganggap lagu tersebut sebagai penutup untuk irama dangdut yang diperjuangkan selama ini.

Menurut Sheeda, lagu ciptaan Ramada Syahman itu  menjadi simbolik kepada hasratnya yang merancang mahu berhijab selepas ini.

“Jika dulu saya memulakan dengan lagu Angkat Kaki, sekarang biarlah saya menutupnya dengan lagu Angkat Tangan yang memberi maksud selepas ini saya mahu berundur daripada irama dangdut ini.

“Jadi lagu ini saya jadikan sebagai hadiah ikhlas saya buat peminat saya selama ini menyokong kerjaya seni menerusi lagu-lagu dangdut.

“Selepas ini kalau saya masih menyanyi lagi, kemungkinan besar saya akan lebih cenderung kepada lagu-lagu nasyid dan berunsurkan ketuhanan,” luah Sheeda.

Lagu ini dimuatkan dalam album terbaru Sheeda yang kini dalam proses terakhir pembikinan dan bakal menemui peminat dalam masa yang terdekat ini.

“Sebelum saya berhijab sepenuhnya, saya mahu menyelesaikan terlebih dahulu pembikinan album ini dan memasarkannya sebaik mungkin sebelum beralih kepada perancangan seterusnya selepas tampil dengan imej baru kelak,” katanya.

Ditanya apakah yang membuatkan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia dangdut, kata Sheeda, sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya.

“Takkan selamanya saya mahu berdangdut dan tergedik di pentas macam dulu-dulu sedangkan saya pun bukannya muda lagi.

“Memang sudah lama saya fikirkan tentang ini, cuma baru sekarang keputusan itu dipermudahkan,” ujarnya kepada Kakigosip di Majlis Pelancaran KL Karnival yang berlangsung semalam.