Angkat hero Melayu

Filem Badang Superb bukan saja berkonsep adiwira, sebaliknya me­ngangkat cerita yang dekat dengan golongan masyarakat tempatan.

Pengarahnya, Profesor Datuk A Razak Mohaideen berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk menghasilkan filem adiwira kerana kekurangan filem sedemikian ketika ini.


“Selepas Cicakman, kita jarang ada filem yang berkonsep adiwira. Sebab itu, saya memilih judul Badang kerana ia inspirasi daripada cerita Badang yang terkenal dalam mitos Melayu.

“Saya juga berharap Badang akan menjadi simbol kepada filem adiwira tempatan dan dapat menarik minat penonton dewasa dan menjadi kegemaran kanak-kanak,” katanya.

Razak yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Badang Superb adalah filem keempat terbitan FiTA Studios Sdn Bhd.

“Saya juga memberi peluang kepada 40 pelajar untuk sama-sama terbabit dalam pembikinan filem ini dari pelbagai aspek. Dengan cara ini mereka dapat menjalani latihan perfileman secara langsung dan sebagai persediaan sebelum melangkah ke dunia sebenar,” katanya.

Selain itu, Razak juga berdepan cabaran besar untuk merealisasikan filem Badang yang diterajui pengasas produk D’Herbs, Datuk Aliff Syukri.

“Cabaran paling besar untuk menghasilkan watak Badang itu sendiri kerana ia tiada kaitan dengan cerita badang yang menjadi kuat selepas makan muntah hantu seperti dalam mitos Melayu. Cerita Badang Superb ini mengenai adiwira yang juga pemilik nama Badrul Hisham,” katanya.

Razak berkata, Badrul adalah anak buluh betung dalam mitos Melayu ber­usia 25 tahun dan memiliki kuasa luar biasa yang kemudiannya memilih nama Badang.

Menurut Razak, babak yang membabitkan aksi lagak ngeri dikendalikan pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi dan pasukannya.

“Ia membabitkan babak aksi selama 10 hingga 15 minit yang memaparkan kekuatan luar biasa badang menjadi halimunan.

“Selain itu, ia juga memaparkan sentuhan CGI (Imej Janaan Komputer) selama 30 minit yang dihasilkan sentuhan pe­ngarah Yusry KRU. Kostum untuk Badang juga kosnya mencecah RM130,000,” katanya.

Mengenai proses penggambaran, Razak berkata, setakat ini penggambaran yang bermula sejak Januari lalu sudah siap sebanyak 95 peratus. Ia dijangka ber­akhir pertengahan bulan ini.

Antara lokasinya di sekitar Shah Alam, Kuala Selangor, Meru dan Kuala Lumpur.

Selain Aliff, filem ini diterajui barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Aminah Rhapor dan Fareez Fauzi.

Fasha bercinta dengan Aliff

Selaku pengarah, Razak percaya dengan gandingan Aliff Syukri dan Fasha Sandha selaku teraju utama.

“Saya memilih Aliff untuk memegang watak hero dalam filem ini kerana mencari personaliti popular tetapi bukan seorang pelakon.

“Saya juga perlu menampilkan Aliff berbeza daripada dirinya di luar iaitu menjadi lelaki yang gagah sesuai dengan watak Badang. Pada mulanya Aliff menjadi watak Badrul yang lembut dan kemudian bertukar menjadi lelaki gagah apabila mendapat kuasa luar biasa.

“Ada elemen komedi diselitkan dalam cerita ini membabitkan watak Badrul di kampung,” katanya.

Razak berkata, pihaknya juga mengadakan kelas lakonan untuk Aliff bagi menjiwai wataknya selama dua minggu.

“Selepas sesi latihan intensif dengan Fasha, Aliff berjaya menjiwai watak badang dengan baik seperti dikehendaki skripnya.

“Saya juga puas hati gandingannya dengan Fasha dalam filem ini,” katanya.

Aminah jiwai watak Mak Siah

Bukan mudah untuk berlakon dan terbabit dalam kerja belakang tabir produksi sekali gus.

Namun, pelakon berkaliber Aminah Rhapor berjaya melakukannya.

Selain berlakon, Aminah juga penerbit penyelaras filem Badang Superb.

Dalam filem ini, Aminah melakonkan watak Mak Siah yang juga ibu kepada Badang.

“Selepas Chowrasta, saya sukar menolak tawaran Razak untuk berlakon dalam filem ini. Saya juga selesa bekerja dengannya kerana dia pengarah yang fleksibel dan bagus,” katanya.

Aminah yang juga Ketua Pusat Pengurusan dan Industri Kreatif FiTA mengakui dia juga tidak ada masalah menjalankan tanggungjawabnya sebagai penerbit eksekutif filem itu.

“Saya lebih mudah untuk menjiwai watak Mak Siah kerana sebagai Penerbit Eksekutif, saya terbabit dalam proses keseluruhan filem ini.

“Hubungan saya juga lebih rapat dengan kru produksi. Apa yang menarik, ia bukan saja membabit­kan seramai 40 pelajar yang menjalani latihan praktikal, malah seramai 16 pensyarah daripada pelbagai jabatan di FiTA,” katanya.

Ditanya gandingannya dengan Aliff pula, kata Aminah, jutawan kosmetik itu seorang yang sangat merendah diri.

“Pada hari pertama latihan, saya memberikannya duit belanja RM2 untuk­nya sebagai simbolik dia berlakon watak anak saya dalam filem itu. Begitu juga pada hari kedua latihan. Pada mulanya, dia tidak faham simbolik duit itu tetapi selepas saya beritahu barulah dia faham ia untuk merapatkan hubungan ibu dan anak.

“Saya beri dia duit itu untuk mendekatkan jurang saya dan dirinya yang bertaraf jutawan,” katanya.

Menurut Aminah, pada pemerhatiannya Aliff seorang yang cepat belajar dan berbakat dalam bidang lakonan.

“Beliau sangat menghayati wataknya dengan baik. Sebenarnya, dia seorang yang susah nak menangis tetapi dia berjaya menangis tanpa dipaksa ketika babak ibunya, Mak Siah hendak meninggal dunia di hospital,” katanya.