Amy Mastura Elak Gaduh Sesama Artis

Pelakon dan penyanyi, Amy Mastura mendedahkan, dia sedaya upaya mengelak dari timbul salah faham mahupun bergaduh dengan rakan sama ada di dalam mahupun luar industri.

Ujar bintang berusia 46 tahun ini, dia merasakan dirinya bukan seorang yang boleh mengawal sesuatu situasi tegang.

"Insya Allah saya sedaya upaya cuba mengelak untuk melalui situasi tegang dengan mana-mana artis lain.

"Sebab itulah saya tak mahu masuk pertandingan yang memerlukan kita bersaing waima cara sihat sekali pun kerana tidak mahu ada salah faham yang berlaku.

"Kalau bertanding untuk Juara Lagu tu lainlah sebab kita mewakili komposer yang mencipta lagu kita," katanya.

Amy berkata, dia juga tidak suka meletakkan zon senior-junior dengan bintang baru di dalam industri.

"Mungkin kerana saya dulu bekerja sebagai pramugari, jadi saya suka sapa orang dulu.

"Bagi saya tidak ada istilah senior-junior atau artis muda perlu menyapa artis lama kerana kadang-kala saya sendiri rasa terlepas pandang artis baru.

"Mungkin juga ada artis baru tak kenal orang lama, maklumlah ketika kita tengah aktif dalam industri dulu, dia belum lahir lagi. Jadi tak salah untuk kita sapa orang dulu," jelasnya yang suka bersikap positif.