Amar, Amyra sedia berlakon bersama

SELEPAS sah menjadi suami isteri, pasangan selebriti, Amar Baharin dan Amyra Rosli pernah membuat kenyataan untuk tidak lagi berlakon bersama.

Pun begitu, mereka kerap dilihat menjayakan pelbagai program dan terpaksa melupakan hasrat sebelum ini.

Positif terhadap apa yang dilakukan, pasangan suami isteri ini menyifatkan kolaborasi itu sebagai satu rezeki dari Yang Maha Kuasa.

“Sebenarnya, memang kami pernah berbincang untuk tak lagi berlakon bersama selepas kahwin. Tapi, lain pula yang berlaku. Selepas kahwin, rezeki kami banyak bersama.

“Jadi, kami fikir kenapa nak tolak rezeki? Insya-ALLAH, kami akan buat selagi termampu,” kata mereka kepada Media Hiburan.

Lebih istimewa, hubungan yang terjalin turut memberi kelebihan tersendiri dalam menjayakan sesuatu watak.

“Contohnya, jika kami berlakon sebagai pasangan suami isteri, ia menjadi lebih mudah. Had limit juga berkurangan bahkan lakonan menjadi lebih real.

“Tapi, kami bukanlah nak shooting berdua saja. Sebenarnya, kami terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa pun,” kata Amar sambil dipersetujui Amyra.

Terbaru, pasangan sejoli ini bakal disatukan menerusi drama adaptasi novel, Jadikan Aku Yang Kedua pada Mac nanti.

Hasil single, Kisah Cinta Kita

Melangkah setapak lagi ke hadapan, kini Amar dan Amyra muncul dengan single duet sulung, Kisah Cinta Kita ciptaan DJ Fuzz dan Zah Amirul manakala lirik oleh Adik Viral.

Mengakui menyanyi sekadar suka-suka, Amar dan Amyra bagaimanapun sentiasa bersedia menerima sebarang kritikan.

“Kami terima setiap kritikan dengan hati terbuka mengenai pembabitan kami dalam bidang nyanyian.

“Biarlah mereka cakap apa saja jika cara itu dapat membantu menjadi yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, baik Amar mahupun Amyra tidak mahu kehadiran mereka disalah anggap oleh penyanyi yang mencari rezeki sepenuhnya dalam bidang nyanyian kerana ramai juga penyanyi yang mencuba nasib sebagai pelakon.

“Tapi, kami tak pernah mengecam mereka kerana menganggap itu sebagai rezeki masing-masing. Apa salahnya jika kita saling menyokong antara satu sama lain dan menambah warna dalam dunia hiburan. Bukankah itu lebih baik?,” kata mereka.

Sebelum ini, Amar pernah menghasilkan single Kita, manakala Amyra pula terbabit dalam lagu Ada Saja bergandingan dengan Waris dan Juzzthin.

Lebih menarik, single duet ini bakal menjadi lagu runut bunyi (OST) drama Cinta Di Langit Cardiff yang turut dibintangi mereka serta diterbitkan oleh Pena Creative Pictures.

Bahkan, lagu yang mendapat kerjasama Life Records ini menjalani rakaman video muzik di Cardiff, Wales, United Kingdom di bawah arahan Rahila Ali, tahun lalu.