Akim, Stacy Namakan Anak Eshaal

KUALA LUMPUR: Pasangan selebriti, Akim Ahmad dan Stacy, menamakan anak perempuan sulung hasil perkahwinan mereka Eshaal.

Pengumuman itu dibuat menerusi Instagram Akim yang memuatkan gambar sekeping kertas dengan tulisan nama penuh anaknya ‘Eshaal binti Afiq Hakim’.

Nama itu turut ditulis dalam tulisan jawi. Rata-rata peminat Akim memuji beliau dan Stacy kerana memberikan nama yang mudah dipanggil dan pendek.

“Alhamdulillah..Sedap nama anak. Semoga Eshaal menjadi anak gang solehah. Amin,” kata salah seorang pengikut Akim, @rizultraviolet889.

Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, melahirkan bayi perempuan seberat 2.97 kilogram berkenaan di sebuah hospital swasta di ibu kota pada Jumaat lalu.

Pada asalnya, penyanyi lagu Not For Sale itu dijangka melahirkan anak pertama mereka pada 28 Februari ini. Akim dan Stacy mendirikan rumah tangga pada 5 Februari tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

Mereka turut mempunyai anak angkat bernama Bella De Luna Valentina yang kini berusia lima tahun.-Bharian