Ajal Budak Digilis Tayar Kereta

Balik Pulau – Kanak-kanak lelaki maut selepas digilis tayar kereta ibunya yang mengundur di Kampung Paya, Teluk Kumbar di sini, malam tadi.


Dalam kejadian 8.30 malam itu, Chu Jie Lie berusia empat tahun meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan Hospital Balik Pulau.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, ketika kejadian mangsa berada dalam kereta terbabit bersama kakaknya berusia enam tahun dengan enjin kenderaan itu masih hidup.


Menurut Lai, mangsa menolak gear pada kedudukan mengundur membuatkan kereta terbabit bergerak dan dia yang panik membuka pintu serta terjun keluar.


“Kanak-kanak itu bagaimanapun digilis tayar kereta terbabit dan dia yang mengalami kecederaan teruk di badan serta kepala terus dibawa ibunya ke hospital.


“Dia disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – myMetro Online