Ahli DAP Kecewa Kit Siang Tidur Sebantal Dengan Mahathir, Umpama Ludah Jilat Semula

  • Print
  • Email
Details

Published on Thursday, 16 February 2017 14:56

KUALA LUMPUR: Tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka meninggalkan parti merupakan puncak kepada kekesalan ahli-ahlinya apabila pemimpin parti berkenaan menjalin hubungan erat dengan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Badang Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ahli DAP tidak boleh menerima kekecewaan apabila pemimpin partinya sendiri tidur sebantal dengan bekas musuhnya sejak sekian lama.

"Kemuncak dan kekecewaan dan kerahan ahli DAP bila Lim Kit Siang jilat semula ludahnya yang sebelum ini memusuhi Dr Mahathir.

"Tindakan beliau bersekongkol dengan Dr Mahathir pada anggapan ahlinya bahawa DAP telah gadai prinsip," katanya Syed Ali menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Malaysian Digest.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas konflik dalaman DAP apabila empat wakil rakyat DAP Melaka terdiri daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him;  ADUN Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jak Wong; dan ADUN Kesidang, Chin  Choong Seong keluar parti, Ahad lepas.

Setiausaha DAP Lim Guan Eng sendiri dalam pada itu mengakui terpaksa menjalin hubungan bersama Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sungguhpun pada suatu ketika dahulu pernah menjadi musuh.

Kata Guan Eng, beliau secara dasarnya tidak berminat untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir ekoran bapanya, Kit Siang pernah disumbat ke penjara menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibawah pemerintahan bekas Perdana Menteri itu.

“Kalau dia (Kit Siang) tidak syok DAP bekerjasama dengan Dr. Mahathir, saya lagi tidak syok. Mengapa? Kerana sebenarnya ada orang tanya bagaimana saya boleh bekerjasama dengan Dr. Mahathir bila beliau tangkap Kit Siang dua kali.

“Saya jawab, betul, beliau tangkap bapa saya dua kali, tapi beliau bukan sahaja tangkap bapa saya, beliau juga tangkap saya dua kali. Anda ingat saya boleh lupakah,” kata Guan Eng.

Mengenai isu empat pemimpin DAP meninggalkan parti, Kit Siang kemudiannya menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sambil berkata insiden berkenaan merupakan 'black ops' UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memburukkan DAP.

Menganggap dakwaan Kit Siang sebagai 'helah' biasa pemimpin DAP itu, Syed Ali menegaskan bahawa veteran DAP itu akan menyalahkan orang lain sedangkan pengkhianatan sebenar dilakukan oleh pemimpin DAP sendiri.

Katanya, pemerintahan diktator Kit Siang di dalam DAP bagi memastikan keluarganya kekal memerintah parti berkenaan telah sekian lama menyinggung hati hati ahli dan pemimpin DAP lain.

"Tindakan empat pemimpin atau wakil rakyat DAP keluar parti tidak ada kena mengena dengan UMNO. Kenapa pula tuduh UMNO kerana itu urusan mereka.

"Inilah Lim Kit Siang pemimpin oportunis dan rasis yang tidak akan mengaku kelemahan sendiri.

"Gandingan Lim Kit Siang dan DAP dengan Dr Mahathir bukan sahaja menjadi duri dalam daging kepada penyokong akar umbi DAP, malah menjadi salah satu punca kepada keretakan dan perpecahan orang Melayu," kata Syed Ali lagi.

- Malaysian Digest